Usahlah Berbalah, Bukankah Kita Satu UMMAH?..


Kumulakan dengan Bismillah,

lafaz yang paling indah,
semoga beroleh barokah,
untuk terus menguntai madah...

Sejak kebelakangan ini, aku dapati seperti ada yang tidak kena di kalangan sahabat-sahabat seukhuwah.. Entah kenapa, seolah-olah ada sahaja isu yang boleh dibawa berbalah.. Hati sedih tidak mampu ku bantah.. Bukanlah menyokong atau menidakkan mana-mana fikrah.. Tetapi yang penting kita tetap satu ummah..!

Bagiku masing-masing mempunyai hak untuk mengeluarkan pendapat dan fikrah, tapi tak perlulah sehingga cuba menjatuhkan mana-mana pihak. Sebab semua yang dinyatakan memang berdasarkan dalil dan mempunyai hujah yang kukuh.

Yang paling ketara masalah di kalangan sahabat-sahabat niqabis. Ada yang mempertikaikan akhowat di FB memakai niqab untuk apa? Adakah kerana benar-benar mengikut perintah Allah setelah dia mempelajari hukum-hukumnya dan cuba beramal dengan apa yang dipelajari? Atau semata-mata untuk menunjuk-nunjuk kepada khalayak ramai bahawa dia seorang yang berniqab? Tetapi berposing dengan berbagai-bagai cara yang menarik untuk mencari perhatian orang yang memandangnya dan ingin menerima pujian atas keindahannya sebagai makhluk ciptaan Allah? SUBHANALLAH..! Tidak dinafikan umumnya, semua orang memang senang mempertikaikan apa yangg terzahir di depan mata tanpa mengetahui apa yang ada di sebaliknya. Sebenarnya, masalah itu tidaklah sebesar mana, tapi disebabkan masing-masing ingin mempertahankan pendapat masing-masing, isu ini aku lihat masih tak ada kesudahannya walaupun ia tidaklah sehangat beberapa hari yang lalu. Masih ada lagi kata-kata yang menyindir sesebelah pihak, kata-kata tidak puas hati dari orang yang tidak puas hati, hingga aku lihat seperti ada yang sanggup memutuskan ukhuwah yang terjalin semata-mata kerana tidak sapendapat?! ALLAHU AKBAR..!

Sebenarnya perkara itu tidak perlu diperpanjangkan, tidak perlu menunjukkan siapa yang salah dan siapa yang benar. Jika ada sahabat-sahabat yang mungkin tidak sedar di mana kesilapannya, tidak salah untuk menegur. Tetapi bukankah lebih baik kita menegur secara berHIKMAH?.. Sedangkan Islam itu sendiri adalah nasihat, iaitu agama yang menjadikan nasihat sebagai teras pembinaan umat, dalam mencipta kemajuan dan pembangunan, samada kemajuan duniawi ataupun pembangunan rohani. Memang benar, membiarkan kerosakan terus berlaku atau perkara yang kurang baik dilaksanakan bertentangan dengan konsep nasihat di dalam Islam.

Pada pendapatku, tidak perlu perkara tersebut dijadikan isu dan diperbincangkan di khalayak ramai, kerana mungkin masalah itu boleh menjatuhkan air muka mana-mana pihak, sekaligus menyakitkan hati mereka. Memanglah kata pepatah, 'Sesiapa yang makan cili dia yang terasa pedasnya', tetapi masalah itu juga terkena tempiasnya pada sahabat-sahabat lain yang mungkin langsung tak terniat di hati untuk melakukan seperti apa yang dikata, walaupun terdapat juga gambar-gambarnya dalam keadaan berniqab yang diletakkan di FB nya. Sebenarnya, semuanya kembali kepada NIAT masing-masing. Bukankah kita semua sudah maklum tentang perkara ini?.. Bahawa setiap apa yang kita lakukan, baik buruknya itu bergantung pada niat seseorang? Allahu Allah..

Cuba kita berfikir sejenak, cuba kita sama-sama bersangka baik antara satu sama lain, cari di mana kebaikan pihak ini, dan di mana kebaikan pihak yang satu lagi? Bukankah perintah Allah itu, husnuzon biLlah wa husnuzon bi 'ibadiLlah? Bersangka baiklah kamu kepada Allah dan bersangka baiklah kamu kepada hamba-hamba Nya yang lain. Maknanya, kita perlu mencari di mana kebaikan seseorang itu dan usah pertikaikan kelemahannya. Yang ingin aku tekankan di sini adalah, di mana kebaikan orang yang menegur? Dan di mana kebaikan orang yang ditegur? Bukankah lebih indah jika segala yang baik kita jadikan teladan, dan yang buruk kita jadikan sempadan? Aku tidak ingin menyalahkan mana-mana pihak, kerana bagiku kedua-duanya berhak mempertahankan pendapat masing-masing tanpa perlu menjatuhkan satu sama lain. Bukankah perbezaan pendapat di kalangan umat Nabi Muhammad saw itu rahmat? Dengan syarat kita menghormati satu sama lain dan meraikan pendapat masing-masing. Sedangkan imam-imam mazhab juga bebrbeza pendapat, tetapi bertelagahkah mereka sesama sendiri? Tidak, malah mereka meraikan pendapat yang lain tanpa berlu berbalah. Tetapi yang sering membuat onar adalah para pengikut yang cuba memperlekehkan ikutan yang lain. Semoga kita semua terpelihara dari sifat-sifat itu.

Baiklah, kembali pada tempat terbit sesuatu keinginan iaitu HATI. Apa yang ada di dalam hati? Segala yang kita niatkan, segala apa yang terlintas di akal fikiran kita, semuanya bermula dari hati. Kerana hati adalah raja anggota badan kita, jika baik raja itu, baiklah seluruh anggotanya. Jadi yang perlu kita lihat di sini dan kita fikirkan, apakah NIAT sahabat-sahabat yang diperkatakan memakai niqab di dlm FB? Atau di mana-mana ruangan yang diletak gambarnya dalam keadaan berfurdah? Boleh kan sama-sama kita berfikiran positif dan bersangka baik? Mari kita cuba..


1) Dia memakai begitu kerana dia memang seorang yang berniqab, dan kita tak boleh pertikaikan niatnya, tahukah kita apa yang ada di dalam hatinya? Kasyaf kah kita? Hanya Tuhan Yang Maha Mengetahui. Tapi kita boleh bersangka baik bahawa dia meletakkan gambarnya yang sebenar, kerana mungkin supaya sahabat-sahabatnya yang lain yang mungkin mengenalinya tetapi telah lama terpisah, jika melihat gambar sebenarnya dan mereka kenal dia, maka akan terjalin semula ukhuwah yang telah lama terputus. Bukankah itu satu kebaikan baginya?

2) Dia memakai niqab kerana tidak mahu dikenali oleh orang lain. Mungkin tujuannya kerana dia ingin berkongsi ilmu, kata-kata hikmah yang menusuk kalbu, kepada sahabat-sahabatnya di alam maya tanpa perlu mereka mengenali dirinya. Mungkin kerana dia ikhlas liLlahi Ta'ala, dia merasakan tidak perlu orang tahu siapakah dirinya yang sebenar, kerana niatnya bukanlah untuk menunjuk-nunjuk kelebihan yang ada pada dirinya, tetapi sekadar berkongsi kurniaan anugerah Allah pada dirinya melalui kata-katanya. Tidak kurang juga yang menggunakan nama samaran, mungkin hanya kerana mereka tidak ingin dikenali siapakah mereka itu yang sebenarnya, tetapi cukuplah jika orang lain dapat mengambil manfaat dari apa yang dilakukannya atau diucap olehnya. Maka dia ingin 'menyembunyikan' diri atau wajahnya dari tatapan umum walaupun hakikatnya mungkin juga dia bukanlah seorang yang berniqab? Allahu Allah.. Betapa mulianya niat insan itu, tahukah kita?

3) Mungkin ada yang baru mula berjinak-jinak dengan pakaian yang sedemikian, namun mereka tidak tahu jika cara mereka bergambar dalam keadaan berniqab tetapi mungkin dengan gaya yang tidak berapa sesuai dipandang jika dilihatkan cara pemakaian mereka, maka kita tidak boleh juga menyalahkan sahabat-sahabat ini. Yang terlebih afdhal bagi kita lakukan adalah menegurnya secara berhikmah, dengan berbagai-bagai cara yang saya rasa tak perlu saya catat satu persatu kerana kita semua dikurniakan akal yang waras dan masing-masing boleh berfikir dengan sebaik-baiknya.

4) Mungkin juga mereka meletakkan gambar-gambar itu dengan niat ingin berkongsi pengalaman, mungkin berada di tempat-tempat menarik atau melakukan sesuatu perkara yang ingin dikongsi bersama rakan-rakannya, dan mereka sememangnya berniqab. Maka masalahnya di sini, tahukah kita niat mereka itu? Tidak bukan. Jadi apa salahnya kita cuba bersangka baik? Banyak kemungkinan yang berlaku, yang penting kita sentiasa cuba untuk melatih diri berfikiran positif dari melihat kelemahan dan keburukan orang lain.


Ini hanyalah sebahagian cara untuk kita bersangka baik jika kita melihat ada sahabat-sahabat yang meletakkan gambar-gambar mereka di ruangan masing-masing. Banyak lagi cara untuk ber'husnuzon' yang boleh kita lakukan jika kita fikir dengan teliti sebelum menegur dan membuat perkara ini menjadi isu besar hingga mungkin boleh menyebabkan sesetangah pihak terasa hati walaupun tanpa mereka sendiri melakukan perkara yang dibincangkan.


Adapun jika memang ada yang meletakkan gambar-gambarnya dan sengaja untuk menunjuk-nunjuk, niat di hatinya ingin mendapat pujian atas kepandaian dia berposing atau sebagainya, atau memang ingin menjadi tatapan dan pujaan orang yang menatapnya, maka orang-orang ini ada Tuhan Yang Maha Tahu yang selayaknya menghukum niat hatinya. Siapalah kita yang cuba membuka aib seseorang tanpa kita tahu isi hati dan niatnya? Mahukah kita berdosa atas su'uzon kepada sesama saudara dan jika kita tersalah sangka, mungkin hingga boleh terjatuh ke hukum memfitnah sesama saudara wal'iyazubiLLah.. Tidak salah kita cuba menegur atas dasar nasihat-menasihati sesama saudara, tetapi yang penting tegurlah dengan cara berhikmah. Tak perlu diperbesar-besarkan masalah, sana-sini membincangkan hal yang sama. Yang menyokong terus menyokong, yang membantah terus membantah, hingga akhirnya terputuslah ukhuwah.

Dari sudut yang menegur pula, mari kita lihat apa kebaikannya, dan usah ditilik di mana kelemahannya. Seperti juga orang yang ditegur, cuba kita lihat apa NIAT orang yang menegur? Sudah tentu dia menegur kerana dia inginkan kebaikan dari sahabat-sahabat seagamanya bukan? Adakah orang yang menegur kerana inginkan kejahatan dari saudaranya? Tidak bukan. Kita juga perlu mengambil yang positif darinya, usah pertikaikan bagaimana dirinya dahulu dan bagaimana pula dirinya sekarang. Bukankah NASIHAT itu kita ambil yang mana baiknya dan bukan mempertikaikan siapa yang memberi nasihat itu? 'UNZUR MA QOL WA LA TANZUR MAN QOL' (Maaflah laptop saya tidak ada tulisan Arab) Maksudnya lihat apa yang dikata (jika ia ada kebaikan) dan jangan lihat siapa yang berkata (walaupun orang itu mungkin ada kekurangan). Samalah seperti kata yang baik dijadikan teladan, yang buruk dijadikan sempadan. Kita patut bersyukur kerana masih ada yang prihatin terhadap apa yang berlaku pada kita atau di sekeliling kita. Kenapa dia prihatin? Sudah tentu kerana dia sayang pada kita. Ya Allah, alangkah indahnya hidup ini jika semua sahabat seagama dapat berdiri megah, bersatu teguh di bawah panji-panji LAILAHAILLALLAH MUHAMMADURRASULULLAH..!!

(Ampun dan maaf dipinta jika ada tersilap kata, setiap yang termaktub adalah pendapat semata-mata.. Ayuhlah para sahabat seukhuwah fiLlah, bersama-sama bersatu mengorak langkah.. Atas jalan dakwah kita berukhuwah, bukankah kita satu UMMAH?.. Di dunia kita mencari MARDHATILLAH, semoga bersatu lagi kita di JANNAH.. )