30 Tips Menjadi Suami Mithali Idaman Isteri

SEBAGAI lelaki, pernahkah terfikir untuk menjadikan diri sebagai orang
dikagumi? Bukan saja memiliki perawakan menarik tetapi hadir dalam
satu pakej yang penuh kesempurnaan sehingga menjadi teladan kepada
semua - disayangi isteri, dihormati anak-anak, disanjung keluarga dan
sekali gus berjaya dalam kehidupan dunia akhirat?

Kalaulah anda belum berpunya, pasti ramai yang bakal menjadi
pemujanya. Namun berusahalah menjadi lelaki yang sempurna dan cuba
memenuhi apa yang diinginkan wanita. Jika anda mengidam mendapat
pasangan yang memenuhi segalanya, tidak salah sekiranya mencuba untuk
menjadi lelaki yang sesempurna mungkin.

Berikut adalah petua bagaimana hendak memenuhi aspirasi berkenaan dan
anda mungkin mampu memenuhinya jika piawaian yang anda ada menepati
apa yang dicari golongan hawa.

Pastinya jika ciri itu ada pada diri anda, tentunya anda lelaki paling
bahagia di dunia ini kerana mampu memenuhi kehendak masyarakat, agama
dan meletakkan kesempurnaan diri pada tahap yang sewajarnya.

Marilah kita selidiki kalau ciri-ciri atau petua yang dititipkan ini
ada pada diri anda atau sememangnya ia sifat semula jadi anda. Tentu
anda bakal diburu oleh wanita mendambakan lelaki seperti dimaksudkan.

1. Pasang niat dan berdoa untuk menjadi suami terbaik. Tanpa berniat
dan berdoa anda tidak mungkin jadi suami yang cemerlang. Ramai suami
terlupa mengenai hal ini.

2. Jika sudah mendirikan rumah tangga, bersyukur kerana mempunyai
pasangan. Yakinlah isteri anda pasangan terbaik yang Tuhan tentukan
untuk anda. Ketentuan Tuhan adalah yang terbaik.

3. Suami ‘mithali’ menjadi kebanggaan isteri. Pastikan anda membentuk
sifat positif dan istimewa.. Cuba tanya diri apakah sifat atau amalan
yang boleh dibanggakan isteri anda.

4. Pastikan anda ada masa untuk berbual dengan isteri setiap hari.
Semua isteri bahagia apabila dapat berbual dengan suami. Berapa minit
yang anda luangkan untuk berbual dengan isteri setiap hari?

5. Setiap hari pulang dengan senyum dan bersemangat. Apabila suami
tersenyum, isteri dan anak-anak akan bahagia dan rahmat Tuhan akan
turun. Senyumlah selalu apabila berada di rumah.

6. Pastikan anda bergurau senda dengan isteri di dalam kenderaan
semasa dalam perjalanan ke tempat kerja ataupun ke mana sahaja. Ramai
suami membazir masa dengan membisu semasa di dalam kenderaan.

7. Telefon isteri ataupun hantar SMS sekadar untuk menyatakan yang
anda sayang ataupun rindu pada isteri. Isteri anda akan berasa seronok
dan bahagia apabila mendapat panggilan ataupun mesej tersebut.

8. Hiburkan hati isteri anda dengan bercerita, buat lawak atau gurauan
yang mesra. Setiap gurauan mengubat hati isteri dan mengeratkan
hubungan suami isteri.

9. Amalkan makan bersama setiap hari. Berbual mesra dan nasihat
menasihati semasa makan. Amalan ini akan menarik hidayat Tuhan dan
mengeratkan hubungan. Elakkan berbual perkara yang melalaikan semasa
makan.

10. Ajak isteri mandi bersama sekali sekala. Bergurau senda semasa
mandi bersama adalah sunnah yang dapat mengeratkan hubungan suami
isteri.

11. Bantu isteri melakukan kerja rumah. Ini adalah sunnah yang dapat
meringankan beban isteri, mengeratkan kasih sayang dan membahagiakan
pasangan anda.

12. Amalkan mesyuarat keluarga sekerap mungkin. Amalan bermesyuarat
menarik hidayat Tuhan, mengeratkan hubungan dan menyelesaikan banyak
masalah.

13. Pastikan penampilan anda anggun, kemas, bersih, wangi, sihat dan
ceria. Ramai suami inginkan isteri yang mengancam, tetapi mengabaikan
penampilan diri sendiri. Mana adil ?

14. Didik isteri dengan memberi nasihat dan peringatan secara hikmah.
Jadikan tindakan dan amalan anda sebagai contoh teladan yang
cemerlang. Elakkan cakap tak serupa bikin.

15. Berikan nafkah kepada isteri mengikut keperluan keluarga dan
kemampuan suami. Ramai suami mengabaikan nafkah kerana isteri bekerja.
Ramai suami yang kedekut dan berkira. Ini menyebabkan isteri derita
dan rumah tangga terancam.

16. Jadikan penawar hati kepada isteri. Ambil berat keperluan,
kemahuan dan peka kepada emosi dan situasi isteri. Isteri yang bahagia
membentuk keluarga sejahtera.

17. Sentiasa taat kepada semua perintah Tuhan dan memastikan keluarga
juga patuh kepada Tuhan.

18. Suami mithali sentiasa menyimpan rahsia isteri. Ramai suami secara
sengaja ataupun tidak sengaja menceritakan keburukan isteri kepada
orang lain. Ini wajib dihentikan.

19. Muliakan keluarga isteri seperti keluarga sendiri. Ada suami yang
membeza-bezakan antara keluarganya dan keluarga isteri. Ada suami
memusuhi keluarga isteri. Anda bagaimana?

20. Bentuk sifat cemburu yang positif. Cemburu tanda beriman, sayang
dan endah. Suami yang tidak cemburu adalah dayus. Isteri amat suka
apabila suaminya ada sifat cemburu yang sekadarnya. Dia akan rasa dihargai.

21. Jadilah suami yang pemaaf. Syurga isteri di bawah tapak kaki
suami. Maafkanlah isteri setiap malam sebelum tidur supaya rumah
tangga bahagia dan isteri mudah masuk syurga.

22. Tegur kesilapan isteri dengan hikmah dan kasih sayang. Isteri
merajuk bukan sebab ditegur tetapi cara ditegur yang kasar. Apabila
suami kasar, isteri jadi takut, bingung, hiba dan memberontak.

23. Jadikan Nabi Muhammad s.a.w sebagai ‘role model’. Hidupkan amalan
sunnah dalam rumah tangga. Sebut nama rasul apabila mendidik dan
menasihati keluarga bagi mendapat hikmah.

24. Mendahulukan keperluan isteri daripada orang lain. Ini adalah
tertib memberi khidmat. Ramai suami yang melebihkan orang lain
daripada isterinya. Elakkan kesilapan ini.

25. Suruh isteri dirikan sembahyang dan ibadah lain. Apabila
berjauhan, telefon atau SMS bagi mengingatkan sembahyang. Wasiatkan
isteri untuk sembahyang fardu dan sunat. Buat pesanan ini sehingga
suami meninggal dunia.

26. Cintai isteri sepenuh hati. Cintai tanpa syarat, bertambah
mengikut usia, penuh kemaafan, memberi tenaga, tidak pernah sengsara
serta berteraskan iman dan takwa.

27. Sentiasa berubah secara positif. Sebelum cuba ubah isteri dan
keluarga, ubah diri dulu. Apabila suami berubah, keluarga akan turut
berubah. Apabila suami cemerlang, isteri akan gemilang.

28. Pamer keprihatinan yang tinggi terhadap keluarga. Ramai suami
tidak ambil kisah dengan keluarga mereka.Cuba tanya apa lagi khidmat
tambahan yang patut diberikan kepada keluarga.

29. Pamer kematangan yang tinggi. Orang yang matang tenang, sabar,
waras, bijaksana, dapat membuat keputusan dan cekap menyelesaikan
masalah.

30. Memuliakan semua perempuan bukan sekadar isterinya. Ramai lelaki
cuba hormat wanita tertentu sahaja. Ramai isteri yang kecewa terhadap
suami yang menghina atau tidak hormat sebarang wanita termasuk
pembantu rumah.

Semoga tips-tips yang diberi ini dapat memberi manfaat kepada semua pihak,insya Allah..~

.:: Apakah itu CINTA? ::.

Mereka yang tidak menyukainya menyebutnya satu bebanan,
Mereka yang tidak serius dengannya, menyebutnya satu permainan,
Mereka yang tidak memilikinya, menyebutnya satu impian,
Mereka yang mendambakannya, menyebutnya satu takdir.

Adakalanya, Allah sememangnya mengetahui yang terbaik tetapi diberinya kesusahan untuk menguji kita. Adakalanya sehingga melukai hati, supaya nikmat sesuatu cinta itu lebih dihargai.

Jika kita kehilangan cinta, ketahuilah.. pasti ada alasan di sebaliknya. Alasan yang kadang-kala sulit untuk diertikan, namun kita tetap harus percaya bahawa ketika Dia mengambil sesuatu, Dia telahpun bersedia untuk memberikan yang lebih baik.

Kenapa harus sesuatu cinta itu mengambil masa?
Kerana walaupun kita ingin membuat satu keputusan, kita tidak ingin tergesa-gesa.
Kerana walaupun kita ingin tergesa-gesa, kita tidak ingin membabi buta.
Kerana walaupun kita ingin segera menemui cinta, kita tidak ingin sesat dan kehilangan arah dalam proses pencarian itu.

Jika ingin berlari, belajarlah berjalan dahulu,
Jika ingin berenang, belajarlah mengapung dahulu,
Jika ingin dicintai, belajarlah mencintai dahulu.


Apakah kita perlu tergesa-gesa mencari orang yang kita inginkan, lalu menimbang memilih apa yang ada.
Atau hanya menerima orang yang kita cintai, lalu memuaskan diri dengan apa yang ada.
Atau bersabar untuk mencari orang yang tepat, kerana sesungguhnya hidup ini terlalu singkat untuk disia-siakan hanya untuk bersama pilihan yang salah.


Perlu diketahui, tiada bunga yang boleh mekar semalaman dan tiada kota yang boleh terbina dalam sehari, Inikan pula kehidupan, yang perlu dikandung dahulu selama sembilan bulan,
Oleh itu, sesuatu cinta yang agung perlu disemai dan didewasakan bersama kehidupan.


Kebanyakkannya, sesuatu perkara yang indah dalam hidup ini tidak terjadi dalam sekelip mata. Adakalanya perlu mengambil masa yang lama, dan ketahuilah.. segala penantian itu tidakkan sia-sia.

Walaupun penantian itu memerlukan - keimanan, kesabaran, keberanian dan pengorbanan tetapi percayalah - penantian yang diberkatiNya menjanjikan satu cinta indah yang tidak terbayangkan.~

~Wanita, akal senipis rambutnya..~

Jangankan lelaki biasa..
nabi pun terasa sunyi tanpa wanita..
tanpa mereka, fikiran dan perasaan lelaki akan resah..
masih mencari walau ada segalanya..
apa yang ada didalam syurga..
namun Adam tetap rindukan Hawa..
dijadikan wanita daripada tulang rusuk yang bengkok..
untuk diluruskan oleh lelaki..
tetapi seandainya lelaki itu tidak lurus..
mana mungkin kayu yang bengkok menghasilkan bayang yang lurus.

Luruskanlah wanita dengan jalan yang ditunjuk oleh Allah..
kerana mereka diciptakan sebegitu rupa oleh Allah..
didiklah mereka dengan panduan dari-Nya..
jangan cuba menjinakkan mereka dengan harta..
kerana nantinya mereka semakin liar..
jangan hiburkan mereka dengan kecantikan..
kerana nantinya mereka semakin derita..
kenalkan mereka kepada Allah..
zat yang kekal..
di situlah punca kekuatan dunia.

Akal senipis rambutnya, tebalkan ia dengan ilmu..
hati serapuh kaca, kuatkan dengan iman..
perasaan selembut sutera, hiasilah dengan ahlak..
suburkanlah ia kerana dari situlah nantinya mereka akan lihat nilaian dan keadilan Rabb.
bisikan ke telinga mereka bahawa kelembutan bukan satu kelemahan..
ia bukan diskriminasi Allah..
sebaliknya di situlah kasih dan sayang Allah.

Wanita yang lupa akan hakikat kejadiannya..
pasti tidak akan terhibur..
dan tidak akan menghiburkan..
tanpa iman, ilmu dan akhlak mereka tidak akan lurus...
bahkan akan semakin membengkok..
itulah hakikatnya andai wanita tidak kenal Rabbnya.

Bila wanita menjadi durhaka..
pasti dunia lelaki akan menjadi huru hara..
lelaki pula jangan mengharapkan ketaatan semata mata..
tapi binalah kepimpinan..
pastikan sebelum wanita menuju Ilahi..
pimpinlah diri kepadaNya..
jinakkan diri kepada Allah..
nescaya akan jinaklah segala galanya dibawah pimpinanmu..
janganlah mengharapkan isteri semulia Fatimah Az Zahra r.a.
seandainya dirimu tidak sehebat saidina Ali karamallahuwajhah...



Faktor Memilih Pasangan Hidup


Kebanyakan daripada rumahtangga runtuh yang bermasalah sejak hari pertama tak lain tak bukan adalah kerana kedua-dua orang yang terlibat tersalah pilih pasangan, itu sahaja. Pilihan pasangan hidup anda adalah lebih penting dari apa jua yang anda lakukan untuk membahagiakan rumah tangga anda. Itu mungkin bunyinya seperti mudah sahaja dilakukan, tetapi anda akan terkejut dengan peratusan tinggi orang yang tidak sabar sabar melangsungkan perkahwinan sehingga mereka tidak menumpukan masa dan usaha yang diperlukan untuk membuat keputusan yang baik. Jika anda ingin memastikan perkahwinan yang memuaskan dan berkekalan, timbangkan faktor-faktor berikut :

1. TEMPOH MASA PERKENALAN

Kajian menunjukkan bahawa pasangan yang telah berkenalan selama dua tahun atau lebih kesemuanya lebih berpuas hati dengan perkahwinan berbanding pasangan yang berkenalan dalam jangka masa yang lebih pendek. Apabila pasangan bersedia mengambil keputusan yang melibatkan perkahwinan selepas hanya berkenalan selama beberapa bulan, keputusan itu kebanyakannya lebih berdasarkan khayalan dan kurang berdasarkan hakikat .

2. MEMILIH PASANGAN SENDIRI

Orang sering memilih pasangan semata-mata untuk menggembirakan orang lain, ayah, ibu atau kerana orang menyuruh mereka berkahwin. Tetapi amat penting agar orang yang hendak kahwin itu sendiri gembira dengan pilihannya. Keputusan anda hendaklah dibuat berasaskan keperluan dan impian anda sendiri. Anda juga patut mendengar pendapat sahabat handai dan kaum keluarga dengan teliti, tapi jangan sampai biarkan orang lain memilih pasangan hidup anda.

3. HARAPAN YANG TIDAK WAJAR TENTANG PERKAHWINAN

Kebanyakan rumahtangga gagal kerana tidak mendapat apa yang mereka impikan sebelum berkahwin. Ramai lelaki dan wanita memasuki alam perkahwinan dengan sangkaan bahawa pasangan mereka akan memenuhi semua keperluan mereka dan bahawa perasaan romantik mereka semasa bercinta akan kekal abadi. Sebenarnya rumah tangga yang bahagia memerlukan begitu banyak usaha, kesabaran dan ketabahan.

4. MASALAH KEPERIBADIAN DAN TINGKAH LAKU

Keperibadian dan tingkah laku tidak akan hilang apabila anda berkahwin. Jika terdapat ciri-ciri keperibadian dan tingkah laku pasangan anda yang menimbulkan persoalan, seperti cemburu, panas baran, tidak bertanggungjawab, tidak jujur dan degil, tanya diri sendiri sama anda sanggup untuk menghabiskan masa anda sehingga ke akhir hayat untuk menangani masalah ini. Nyata sekali, jika pasangan yang dalam pertimbangan itu menghadapi masalah dadah, kaki botol dan sebagainya, anda sepatutnya memastikan masalah itu telah diselesaikan jauh lebih awal sebelum perkahwinan anda.

5. BANYAK PENGALAMAN HIDUP

Pemilihan pasangan hidup melibatkan ramalan tentang bagaimana anda berdua akan hidup bersama sepanjang tahun tahun akan datang. Pengalaman di sini bukan bermaksud usia. Pengalaman yang dilalui tidak bergantung dengan usia seseorang. Pengalaman lelaki dan wanita mengharungi susah senang bersama amat bermakna dalam perhubungan. Jika boleh lalui waktu waktu susah dan senang bersama pasangan anda. Ambil contoh yang mudah saja, misalnya melalui lalu lintas yang sesak, jalan jalan kampung yang becak. Dari situ, dia akan menunjukkan siapa dirinya yang sebenarnya.

6. BAYANGAN ORANG YANG INGIN ANDA KAHWINI

Bayangan ini tidak anda sedari pada umumnya, namun ia amat mempengaruhi anda. Bayangkan dengan jelas sifat-sifat orang yang ingin anda kahwini. Fikirlah dengan panjang dan mendalam tentang faktor - penampilan, kepintaran, pendidikan, kerohanian dan sebagainya. Pemikiran bawah sedar anda boleh menghantui sesuatu hubungan. Berpeganglah pada bayangan anda ini, jika tidak anda akan menginginkan orang lain buat selamanya.

7. PASANGAN YANG BERSIFAT SEAKAN AKAN DIRI ANDA

Pasangan yang mempunyai terlalu banyak perbezaan sifatnya, akan memerlukan usaha yang lebih untuk memastikan rumahtangga yang dibina kekal bahagia. Lebih banyak memerlukan toleransi dan pemahaman. Tak ramai pasangan mampu bertindak sebegini.

8. MEMPUNYAI CITA-CITA YANG SEIRING

Jika orang yang anda kahwini bercita-cita jauh lebih rendah atau lebih tinggi daripada anda, mungkin anda berdua akan kecewa. Masalah akan timbul jika anda berusaha mendaki puncak kejayaan tetapi pasangan anda telah berpuas hati dengan apa yang telah anda berdua miliki. Perbezaan sifat mungkin menarik hati ketika sedang melamar, tetapi ia akan menyebabkan banyak kekecewaan sepanjang perkahwinan.

9. KEBOLEHAN BERKOMUNIKASI

Kebolehan berkomunikasi sangat penting demi kebahagian rumah tangga. Kesejahteraan perkahwinan bergantung kepada tahap komunikasi suami isteri. Adalah penting kedua dua pasangan menguasai kemahiran bertutur dan mendengar. Banyak rumah tangga hancur kerana masing masing tidak pandai menyatakan hasrat masing-masing dengan cara yang boleh diterima oleh pasangannya. Hasrat dipendam tanpa komunikasi berkesan.

9. KEBOLEHAN MENYELESAIKAN PERTELINGKAHAN

Pasangan perlu tahu yang mereka berkemampuan untuk menyelesaikan pertelingkahan sebelum mereka berkahwin. Jika pasangan tidak tahu cara yang berkesan untuk menangani perselisihan pendapat antara mereka, rumahtangga mungkin akan runtuh. Banyak rumahtangga runtuh kerana suami isteri tidak tahu menangani perbezaan diri mereka berbanding sebab-sebab lain. Amat perlu menilai kemahiran perdamaian masing-masing sebelum berkahwin.

P/S : NO. 1 Tak tahu kajian dilakukan di mana. Rasanya tak semua perkenalan jangka pendek gagal dan perkenalan jangka panjang berjaya. Kemungkinan perkenalan jangka panjang lebih banyak berjaya disebabkan peratusan perkahwinan berdasarkan perkenalan jangka panjang lebih tinggi berbanding jangka pendek. Tapi rasanya, perkenalan jangka pendek boleh juga berjaya, asal saja pasangan tersebut sedia menghadapi segala risikonya, dan redha. Mana mungkin kita boleh mengenali orang sepenuhnya hanya dalam masa beberapa bulan. Boleh saja tempoh perkenalan tersebut dilanjutkan sehingga selepas berkahwin. Apapun kita hendaklah bersedia menghadapi segala kekurangan dan kelebihannya. Kebanyakan pasangan dahulu kala banyak yang berjaya, bukan la disebabkan mereka serasi atau pasangan yang ideal tetapi kerana mereka telah masing-masing redha di atas kelebihan dan kekurangan masing-masing walaupun mengetahuinya hanya selepas berkahwin dan bersyukur seadanya.

Usahlah Berbalah, Bukankah Kita Satu UMMAH?..


Kumulakan dengan Bismillah,

lafaz yang paling indah,
semoga beroleh barokah,
untuk terus menguntai madah...

Sejak kebelakangan ini, aku dapati seperti ada yang tidak kena di kalangan sahabat-sahabat seukhuwah.. Entah kenapa, seolah-olah ada sahaja isu yang boleh dibawa berbalah.. Hati sedih tidak mampu ku bantah.. Bukanlah menyokong atau menidakkan mana-mana fikrah.. Tetapi yang penting kita tetap satu ummah..!

Bagiku masing-masing mempunyai hak untuk mengeluarkan pendapat dan fikrah, tapi tak perlulah sehingga cuba menjatuhkan mana-mana pihak. Sebab semua yang dinyatakan memang berdasarkan dalil dan mempunyai hujah yang kukuh.

Yang paling ketara masalah di kalangan sahabat-sahabat niqabis. Ada yang mempertikaikan akhowat di FB memakai niqab untuk apa? Adakah kerana benar-benar mengikut perintah Allah setelah dia mempelajari hukum-hukumnya dan cuba beramal dengan apa yang dipelajari? Atau semata-mata untuk menunjuk-nunjuk kepada khalayak ramai bahawa dia seorang yang berniqab? Tetapi berposing dengan berbagai-bagai cara yang menarik untuk mencari perhatian orang yang memandangnya dan ingin menerima pujian atas keindahannya sebagai makhluk ciptaan Allah? SUBHANALLAH..! Tidak dinafikan umumnya, semua orang memang senang mempertikaikan apa yangg terzahir di depan mata tanpa mengetahui apa yang ada di sebaliknya. Sebenarnya, masalah itu tidaklah sebesar mana, tapi disebabkan masing-masing ingin mempertahankan pendapat masing-masing, isu ini aku lihat masih tak ada kesudahannya walaupun ia tidaklah sehangat beberapa hari yang lalu. Masih ada lagi kata-kata yang menyindir sesebelah pihak, kata-kata tidak puas hati dari orang yang tidak puas hati, hingga aku lihat seperti ada yang sanggup memutuskan ukhuwah yang terjalin semata-mata kerana tidak sapendapat?! ALLAHU AKBAR..!

Sebenarnya perkara itu tidak perlu diperpanjangkan, tidak perlu menunjukkan siapa yang salah dan siapa yang benar. Jika ada sahabat-sahabat yang mungkin tidak sedar di mana kesilapannya, tidak salah untuk menegur. Tetapi bukankah lebih baik kita menegur secara berHIKMAH?.. Sedangkan Islam itu sendiri adalah nasihat, iaitu agama yang menjadikan nasihat sebagai teras pembinaan umat, dalam mencipta kemajuan dan pembangunan, samada kemajuan duniawi ataupun pembangunan rohani. Memang benar, membiarkan kerosakan terus berlaku atau perkara yang kurang baik dilaksanakan bertentangan dengan konsep nasihat di dalam Islam.

Pada pendapatku, tidak perlu perkara tersebut dijadikan isu dan diperbincangkan di khalayak ramai, kerana mungkin masalah itu boleh menjatuhkan air muka mana-mana pihak, sekaligus menyakitkan hati mereka. Memanglah kata pepatah, 'Sesiapa yang makan cili dia yang terasa pedasnya', tetapi masalah itu juga terkena tempiasnya pada sahabat-sahabat lain yang mungkin langsung tak terniat di hati untuk melakukan seperti apa yang dikata, walaupun terdapat juga gambar-gambarnya dalam keadaan berniqab yang diletakkan di FB nya. Sebenarnya, semuanya kembali kepada NIAT masing-masing. Bukankah kita semua sudah maklum tentang perkara ini?.. Bahawa setiap apa yang kita lakukan, baik buruknya itu bergantung pada niat seseorang? Allahu Allah..

Cuba kita berfikir sejenak, cuba kita sama-sama bersangka baik antara satu sama lain, cari di mana kebaikan pihak ini, dan di mana kebaikan pihak yang satu lagi? Bukankah perintah Allah itu, husnuzon biLlah wa husnuzon bi 'ibadiLlah? Bersangka baiklah kamu kepada Allah dan bersangka baiklah kamu kepada hamba-hamba Nya yang lain. Maknanya, kita perlu mencari di mana kebaikan seseorang itu dan usah pertikaikan kelemahannya. Yang ingin aku tekankan di sini adalah, di mana kebaikan orang yang menegur? Dan di mana kebaikan orang yang ditegur? Bukankah lebih indah jika segala yang baik kita jadikan teladan, dan yang buruk kita jadikan sempadan? Aku tidak ingin menyalahkan mana-mana pihak, kerana bagiku kedua-duanya berhak mempertahankan pendapat masing-masing tanpa perlu menjatuhkan satu sama lain. Bukankah perbezaan pendapat di kalangan umat Nabi Muhammad saw itu rahmat? Dengan syarat kita menghormati satu sama lain dan meraikan pendapat masing-masing. Sedangkan imam-imam mazhab juga bebrbeza pendapat, tetapi bertelagahkah mereka sesama sendiri? Tidak, malah mereka meraikan pendapat yang lain tanpa berlu berbalah. Tetapi yang sering membuat onar adalah para pengikut yang cuba memperlekehkan ikutan yang lain. Semoga kita semua terpelihara dari sifat-sifat itu.

Baiklah, kembali pada tempat terbit sesuatu keinginan iaitu HATI. Apa yang ada di dalam hati? Segala yang kita niatkan, segala apa yang terlintas di akal fikiran kita, semuanya bermula dari hati. Kerana hati adalah raja anggota badan kita, jika baik raja itu, baiklah seluruh anggotanya. Jadi yang perlu kita lihat di sini dan kita fikirkan, apakah NIAT sahabat-sahabat yang diperkatakan memakai niqab di dlm FB? Atau di mana-mana ruangan yang diletak gambarnya dalam keadaan berfurdah? Boleh kan sama-sama kita berfikiran positif dan bersangka baik? Mari kita cuba..


1) Dia memakai begitu kerana dia memang seorang yang berniqab, dan kita tak boleh pertikaikan niatnya, tahukah kita apa yang ada di dalam hatinya? Kasyaf kah kita? Hanya Tuhan Yang Maha Mengetahui. Tapi kita boleh bersangka baik bahawa dia meletakkan gambarnya yang sebenar, kerana mungkin supaya sahabat-sahabatnya yang lain yang mungkin mengenalinya tetapi telah lama terpisah, jika melihat gambar sebenarnya dan mereka kenal dia, maka akan terjalin semula ukhuwah yang telah lama terputus. Bukankah itu satu kebaikan baginya?

2) Dia memakai niqab kerana tidak mahu dikenali oleh orang lain. Mungkin tujuannya kerana dia ingin berkongsi ilmu, kata-kata hikmah yang menusuk kalbu, kepada sahabat-sahabatnya di alam maya tanpa perlu mereka mengenali dirinya. Mungkin kerana dia ikhlas liLlahi Ta'ala, dia merasakan tidak perlu orang tahu siapakah dirinya yang sebenar, kerana niatnya bukanlah untuk menunjuk-nunjuk kelebihan yang ada pada dirinya, tetapi sekadar berkongsi kurniaan anugerah Allah pada dirinya melalui kata-katanya. Tidak kurang juga yang menggunakan nama samaran, mungkin hanya kerana mereka tidak ingin dikenali siapakah mereka itu yang sebenarnya, tetapi cukuplah jika orang lain dapat mengambil manfaat dari apa yang dilakukannya atau diucap olehnya. Maka dia ingin 'menyembunyikan' diri atau wajahnya dari tatapan umum walaupun hakikatnya mungkin juga dia bukanlah seorang yang berniqab? Allahu Allah.. Betapa mulianya niat insan itu, tahukah kita?

3) Mungkin ada yang baru mula berjinak-jinak dengan pakaian yang sedemikian, namun mereka tidak tahu jika cara mereka bergambar dalam keadaan berniqab tetapi mungkin dengan gaya yang tidak berapa sesuai dipandang jika dilihatkan cara pemakaian mereka, maka kita tidak boleh juga menyalahkan sahabat-sahabat ini. Yang terlebih afdhal bagi kita lakukan adalah menegurnya secara berhikmah, dengan berbagai-bagai cara yang saya rasa tak perlu saya catat satu persatu kerana kita semua dikurniakan akal yang waras dan masing-masing boleh berfikir dengan sebaik-baiknya.

4) Mungkin juga mereka meletakkan gambar-gambar itu dengan niat ingin berkongsi pengalaman, mungkin berada di tempat-tempat menarik atau melakukan sesuatu perkara yang ingin dikongsi bersama rakan-rakannya, dan mereka sememangnya berniqab. Maka masalahnya di sini, tahukah kita niat mereka itu? Tidak bukan. Jadi apa salahnya kita cuba bersangka baik? Banyak kemungkinan yang berlaku, yang penting kita sentiasa cuba untuk melatih diri berfikiran positif dari melihat kelemahan dan keburukan orang lain.


Ini hanyalah sebahagian cara untuk kita bersangka baik jika kita melihat ada sahabat-sahabat yang meletakkan gambar-gambar mereka di ruangan masing-masing. Banyak lagi cara untuk ber'husnuzon' yang boleh kita lakukan jika kita fikir dengan teliti sebelum menegur dan membuat perkara ini menjadi isu besar hingga mungkin boleh menyebabkan sesetangah pihak terasa hati walaupun tanpa mereka sendiri melakukan perkara yang dibincangkan.


Adapun jika memang ada yang meletakkan gambar-gambarnya dan sengaja untuk menunjuk-nunjuk, niat di hatinya ingin mendapat pujian atas kepandaian dia berposing atau sebagainya, atau memang ingin menjadi tatapan dan pujaan orang yang menatapnya, maka orang-orang ini ada Tuhan Yang Maha Tahu yang selayaknya menghukum niat hatinya. Siapalah kita yang cuba membuka aib seseorang tanpa kita tahu isi hati dan niatnya? Mahukah kita berdosa atas su'uzon kepada sesama saudara dan jika kita tersalah sangka, mungkin hingga boleh terjatuh ke hukum memfitnah sesama saudara wal'iyazubiLLah.. Tidak salah kita cuba menegur atas dasar nasihat-menasihati sesama saudara, tetapi yang penting tegurlah dengan cara berhikmah. Tak perlu diperbesar-besarkan masalah, sana-sini membincangkan hal yang sama. Yang menyokong terus menyokong, yang membantah terus membantah, hingga akhirnya terputuslah ukhuwah.

Dari sudut yang menegur pula, mari kita lihat apa kebaikannya, dan usah ditilik di mana kelemahannya. Seperti juga orang yang ditegur, cuba kita lihat apa NIAT orang yang menegur? Sudah tentu dia menegur kerana dia inginkan kebaikan dari sahabat-sahabat seagamanya bukan? Adakah orang yang menegur kerana inginkan kejahatan dari saudaranya? Tidak bukan. Kita juga perlu mengambil yang positif darinya, usah pertikaikan bagaimana dirinya dahulu dan bagaimana pula dirinya sekarang. Bukankah NASIHAT itu kita ambil yang mana baiknya dan bukan mempertikaikan siapa yang memberi nasihat itu? 'UNZUR MA QOL WA LA TANZUR MAN QOL' (Maaflah laptop saya tidak ada tulisan Arab) Maksudnya lihat apa yang dikata (jika ia ada kebaikan) dan jangan lihat siapa yang berkata (walaupun orang itu mungkin ada kekurangan). Samalah seperti kata yang baik dijadikan teladan, yang buruk dijadikan sempadan. Kita patut bersyukur kerana masih ada yang prihatin terhadap apa yang berlaku pada kita atau di sekeliling kita. Kenapa dia prihatin? Sudah tentu kerana dia sayang pada kita. Ya Allah, alangkah indahnya hidup ini jika semua sahabat seagama dapat berdiri megah, bersatu teguh di bawah panji-panji LAILAHAILLALLAH MUHAMMADURRASULULLAH..!!

(Ampun dan maaf dipinta jika ada tersilap kata, setiap yang termaktub adalah pendapat semata-mata.. Ayuhlah para sahabat seukhuwah fiLlah, bersama-sama bersatu mengorak langkah.. Atas jalan dakwah kita berukhuwah, bukankah kita satu UMMAH?.. Di dunia kita mencari MARDHATILLAH, semoga bersatu lagi kita di JANNAH.. )



~... DIA YANG DINANTI ...~

Imam yang dinanti

Tertegak Islam di dalam diri

Hatinya dilingkari cinta Yang Satu

Iman dan taqwa menjadi sepatu

Dengan roh Islam dia melangkah maju

Dahagakan keredhaan-Nya, hauskan ilmu

Gagah melawan nafsu

Solatnya dihayati penuh syahdu

Kata-katanya benar tidak menipu



Imam yang dinanti

Teguh dalam saf perjuangan

Teman-temannya adalah

Pencinta syariat Islam

Yang menyampaikan ilmu di dada

Buat umat yang kehausan

Yang menginfakkan harta

Untuk jalan jihad dan kebenaran



Imam yang dinanti

Adalah lelaki beriman

Yang mengalir dalam darahnya

Segala sifat kepimpinan

Suka berbuat kebajikan

Berbakti pada ayah bondanya

Dengan penuh kebaikan

Dalam rumahtangga

Dialah penjaga kerukunan

Menghiasi jiwa ahlinya

Dengan seagung-agung pegangan

Mendidik anak dan isterinya

Untuk terus menghayati Islam

Yang mengamalkan hidup

Penuh kesederhanaan

Yang dunia ini baginya

Rumah sementara menuju akhirat



Imam yang dinanti

Sentiasa sedia menjadi imamku

Yang hidup di bawah naungan Al-Quran

Dan petunjuk Rasulullah saw

Yang menjaga matanya

Daripada berbelanja

Yang sujudnya penuh kesyukuran

Dengan rahmat Allah ke atasnya



Imam yang dinanti

Tidak pernah membazirkan masa

Matanya kepenatan kerana membaca

Suaranya lesu kerana mengaji dan berzikir

Tidurnya lena dengan cahaya keimanan

Bangun Subuhnya penuh kecergasan

Kerana sehari lagi usianya

Bertambah penuh kematangan


Imam yang dinanti

Sentiasa mengingati mati

Yang baginya hidup adalah ladang akhirat

Yang mana buah kehidupan itu

Perlu dibaja dan dijaga

Agar berputik dan bertunas

Bakal menjadi baka yang baik

Meneruskan perjuangan Islam

Sebelum hari kemudian


Imam yang dinanti

Adalah lelaki yang

Tidak terpesona dengan buaian dunia

Kerana dia mengimpikan syurga

Di situlah rumah idamannya

Dan dia ingin membawaku bersama


Dialah

Imam yang kunanti...!

Janganlah Kamu Sombong...!

Kumulakan dgn nama Allah, Tuhan Yg Maha Pengasih lagi Maha Penyayang..

Semoga apa yg ingin dikongsikan dpt manfaat utk diri ini dan jg semua yg membacanya, insya Allah..

Firman Allah Ta'ala di dalam Qs Lukman ayat 18. “ Dan janganlah kamu memalingkan muka (karena sombong) dan janganlah kamu berjalan dimuka bumi dengan angkuh. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang sombong lagi membanggakan diri.”

Ayat diatas memberi maklumat pada manusia, khususnya manusia muslim / muslimah untuk menjauhi suatu sifat yang abadi dimiliki Iblis laknatullah yaitu sombong, sewaktu diperintahkan Allah Swt untuk sujud sebagai menghormati wujudnya Nabi Adam as di dalam syurga. Hakikatnya, memang Allah ciptakan manusia di muka bumi ini memiliki kelebihan dan kekurangan yang berbeza sebagai anugerah terindah dari Sang Pencipta. Akan tetapi, segala kelebihan yang dimiliki seringkali membuat manusia itu terjebak dalam melakukan perkara-perkara yang dilarang oleh-Nya. Ini adalah disebabkan kita sering tidak menyedari akan segala kekurangan dan keterbatasannya sehingga timbul satu sifat yang disukai oleh Iblis dan para kroninya, iaitu sifat sombong atau takabur.

Islam sebagai agama yang penuh dengan kedamaian dan keharmonian sangat melarang umatnya memiliki sifat sombong, kerana kesombongan yang dipelihara akan membuka jurang pemisah yang cukup dalam antara si kaya dan si miskin, dan antara si pintar dengan si bodoh dalam lingkungan kerja ataupun dalam lingkungan masyarakat secara umum. Di samping itu kita juga harus selalu sedari\ bahwa semua yang kita miliki hanyalah pemberian dan titipan Allah Swt. Oleh kerana itu, tidak ada alasan bagi manusia sekaya manapun atau sepintar apa pun untuk berlagak sombong atau takbur, baik pada sesama manusia, apatah lagi pada Allah yang memiliki alam beserta isinya ini. Orang kaya, pintar lagi kuat berlagak sombong/takbur dimurkai Allah, bagaimana pula dgn yg miskin, bodoh, lemah dalam segala bidang berlaku sombong juga, jelas Allah lebih murka lagi dan inilah orang yang paling rugi dunia akhirat.

Sombong itu adalah takabbur, yang berasal dari bahasa Arab takabbara-yatakabbaru yang bermakna sangat sombong dan suka membanggakan ataupun menonjolkan diri (dalam apa2 pekerjaan). Secara istilah sombong/takabbur adalah satu sikap yang didominasi oleh suatu kebanggaan yang berlebihan sehingga melahirkan sifat membaggakan diri sendiri. Biasanya orang yang memiliki sifat ini akan selalu beranggapan bahawa dialah yang paling betul dan hebat dibandingkan orang lain, padahal seringkali berlaku sebaliknya, malah yang lebih kesian lagi selalu menunjukkan keangkuhan, dan kebesaranya (ta’azum). Kalau diri tidak hati-hati di dalam menjalani kehidupan ini maka tak mustahil sifat Iblis ini akan mencari tempat tersendiri di dalam hati kita, kerana banyak hal dalam kehidupan seharian kita yang memungkinkan lahirnya sifat sombong ini. Sifat ini biasanya muncul dari kekayaan, ilmu pengetahuan, amal ibadah, sudah merasa paling alim, kecantikan, kegagahan, kekuatan dsb. Namun, jika semua itu tidak dapat diperolehi atau menemui kegagalan, maka orang-orang seperti ini sangat mudah untuk beputus asa dan cenderung menyalahkan orang lain atau pihak lain, malah sering suu-dzon (berburuk sangka) pada Allah Swt. Sifat ini sangat dikecam oleh Allah dengan firman-Nya:

”Maka masuklah pintu-pintu neraka jahanam, kamu kekal didalamnya. Maka amat buruklah tempat orang-orang yang menyombongkan diri.” (Qs An Nahl-29).

Dilihat dari segi objeknya Islam membagi sifat sombong ini dalam beberapa kategori, antaranya:

1) berlaku sombong pada Allah.

Keadaan orang seperti ini sangat berbahaya, kerana dia tidak mahu mengakui dan menerima kebenaran yang datangnya dari Allah Ta'ala, enggan bahkan malas melaksanakan solat, tidak mahu mengeluarkan zakat hartanya, walaupun nilai dari hartanya itu sudah sampai di mana zakatnya sudah harus dikeluarkan, tidak memperdulikan kaum duafa' (yg lemah) malah sering menganiayai mereka dsb.

2) Sombong terhadap Rasulullah Saw

sikap ini boleh dilihat apabila seseorang itu tidak mahu mentaati atau mengikuti apa-apa yang telah disunnahkan Nabi Muhammad saw kepadanya, seperti harus selalu menjaga solat dan menghindarkan diri dari perkara yang dilarang Allah, selalu menjaga keharmonian hidup dalam bermasyarakat dsb.

3) Sedangkan bersikap sombong terhadap sesama manusia biasanya akan terzahir dari hal-hal yang sifatnya lahiriah seperti sudah merasa paling kaya, sudah merasa paling pandai, dan itu sering menyeret manusia pada sifat-sifat seperti yang diwariskan Iblis laknatullah (sombong, takabbur dsb).

Memang sifat sombong ini sangat tidak baik untuk dipelihara, sombong secara batin yang tertanam di dalam hati seseorang kalau dilihat secara langsung memang tidak kelihatan. Pada dasarnya sombong dalam bentuk ini hanya dilakukan oleh hatinya saja, sifat ini akan terlihat ketika seseorang mengingkari segala kebenaran yang datangnya dari Allah dan Rasul, dan dia mengetahui akan kebenaran dan perintah tersebut, seperti kewajipan solat yang semakin diabaikan dan pada akhirnya ditinggalkan dengan sengaja, malas berdoa memohon pada Yang Esa. Padahal semua persoalan dalam hidup ini tidak akan dapat diselesaikan tanpa ada campur tangan Allah Ta'ala.

Seperti mana firman-Nya :

"Berdoalah kepadaku, niscaya akan Ku perkenankan (Ku kabulkan) bagimu. Sesungguhnya orang-orang yang menyombongkan diri dari menyembah-Ku akan masuk neraka jahanam dalam keadaan hina dina “ Qs Al Mukmin – 60 ).

Selain berlaku sombong dalam bentuk batin, sombong dalam bentuk zahir atau sombong dalam bentuk perbuatan sangat-sangat dibenci Allah dan manusia. Seseorang yang memiliki sifat sombong secara zahir ini boleh kita lihat dari ucapan dan gerakan tubuhnya, memperlihatkan sifat riak, angkuh, munafik dan selalu meremehkan pihak lain. Orang yang memiliki tabiat seperti ini selalu menganggap dirinyalah yang paling benar. Padahal menganggap diri tidak pernah melakukan kesalahan, itulah suatu kesalahan besar. Jelas Allah tidak menyukai orang-orang yang selalu menganggap remeh orang lain dan selalu berpaling muka dari petunjuk-Nya.

Seperti yang difirmankan Allah dalam Qs Lukman ayat 18 “ Dan janganlah kamu memalingkan muka (karena sombong) dan janganlah kamu berjalan dimuka bumi dengan angkuh. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang sombong lagi membanggakan diri “.

Serta di dalam Qs Al Isra ayat 37-38 Allah menegaskan lagi “ Dan janganlah engkau berjalan dimuka bumi dengan sombong. Sebab sesungguhnya engkau sekali-kali tidak akan dapat membelah bumi dan tidak akan dapat menyamai tingginya gunung. Semua itu kejahatannya amat dibenci di sisi Tuhanmu”.

Sedangkan Hadis Rasulullah sendiri juga banyak yang mngecam orang yg bersifat dgn sifat sombong ini. “Jauhilah sifat sombong, takabbur atau berlagak, kerana sesungguhnya orang yang selalu sombong dan menbangga-banggakan serta suka menonjolkan diri dan kelebihan, membuat Allah berfirman kepada malaikat-Nya. “Tulislah orang ini termasuk golongan dari orang-orang yang durhaka.” ( Hr. Ibnu ‘Adi dari Abu Hurairah).

Orang alim mengatakan tiada kata seindah doa dan selalulah berzikir mengingati pada Allah dalam setiap kesempatan, agar sifat-sifat yang terlarang seperti yang disebut di atas tidak sampai tertanam dalam hati dan fikiran kita. Mendekatkan diri selalu pada Allah merupakan benteng terkuat untuk menghadapi pujukan dan rayuan iblis yang telah berhasil mewariskan sifat sombong ini pada segenap manusia. Ringkasnya, orang yang sombong dan sangat membanggakan diri akan menimbulkan impak negatif terhadap dirinya sendiri ataupun terhadap orang lain. Berbagai bentuk penyiksaan dan penganiayaan zahir dan fizikal pada zaman sekarang ini sudah semakin menjadi budaya adanya. Jelasnya, siapa pun kita, kaya ke miskin, kuat atau lemah jangan sekali-kali berlaku sombong dan memandang remeh pada makhluk Allah lainnya.. Bukankah dunia dan isinya ini mutlak milik Allah ??...

Sedangkan Allah Yang Maha ar-Rahman dan Maha ar-Rahim, sentiasa menyayangi makhluknya, khususnya manusia, lalu kenapa manusia itu sendiri yang sering berbuat aniaya?... Marilah sama-sama kita kembali merenungi untuk apa kita dihidupkan di atas dunia ini, tiada lain untuk mengabdikan diri pada Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang...

WaLlahu a'lam...

Hakikat Percintaan Dlm Islam

Mari kita renungkan suasana persekitaran kita pada hari ini. Pelbagai karenah manusia dapat kita saksikan. Atas kepelbagaian karenah ini maka timbullah juga kepelbagaian gejala yang kurang sihat bahkan banyak yang bertentangan dengan syariat Islam. Bermaharajalelanya pelbagai masalah ini sudah menjadi suatu aktiviti rutin persekitaran kita. Bahkan ada segolongan menganggap perkara ini suatu yang bersifat 'harus' dilakukan atau dengan kata lain seri persekitaran ini akan hilang tanpa adanya perkara sedemikian. Amatlah ditakuti sekiranya pemikiran-pemikran sebegini terus berleluasa sehingga suatu masa nanti ada yang bakal mengatakan ianya tidak bertentangan dengan Islam. Apa yang paling menyedihkan dan menduka-citakan lagi kebanyakkan 'pelakon-pelakon' ini terdiri dari kalangan yang mengaku diri mereka 'muslim'.

Apa yang cuba diketengahkan dalam tulisan ini ialah sebahagian daripada kerosakan yang terdapat dalam alam persekitaran kita dan khususnya ruang di mana kita berada pada hari ini. Samada suka atau tidak, apa yang dapat kita saksikan pada hari ini, remaja sudah tergiur dek keenakkan hidangan dunia sehingga tidak sedar ianya membahayakan. Salah satu permasalahan yang sering kita temui dan sudah menjadi suatu 'trend' bagi golongan remaja ialah 'percintaan'. Telah banyak kisah yang terdengar dibalik kalimah indah ini termasuklah keributan, keresahan, kerosakan dan kebejatan masyarakat yang timbul sehingga kadang kala ada yang rela nyawanya melayang atau rela akidahnya tergadai hanya kerana kalimah nan indah ini. Apa yang jelas dan pasti fenomena percintaan ini banyak kita jumpai dalam masyarakat kita.

Persoalannya, adakah Islam mempunyai ruang kebenaran untuk 'bercinta-cintaan' mengikut konsep muktahir yang dipegang oleh masyarakat kita ? Mari kita kembali kepada fakta utama yang menimbulkan permasalahan ini. Dari kajian secara dalam dan menyeluruh(al-fikrul al-mustanir) terhadap realiti (waqi’) dapat dibuktikan bahawa pergaulan bebas adalah benih dari segala permasalahan di atas. Bagaimana pula pergaulan bebas ini boleh berlaku ?. Jawapan bagi soalan ini seratus peratus berpunca dari sistem yang kita agungkan pada hari ini iaitu sistem kapitalisme. Samada kita sedar atau tidak, kita telah lama meninggalkan nidzamul ijtima'i secara Islami yang seharusnya menjadi landasan kita dalam menguruskan kehidupan ini dan bukannya sistem yang tempang ! Mengapa pula terjadinya jalinan kasih-sayang terhadap insan lawan jantina ? Kecenderungan menyukai insan yang berlawanan jantina dengan kita adalah satu fitrah manusia yang mempunyai gharizah Al-nau' (naluri untuk mengadakan keturunan). Islam mengakui akan hal ini oleh itu Allah, Sang Pencipta yang berkuasa telah menggariskan beberapa peraturan untuk memenuhi gharizah ini.

Jalinan hubungan kasih sayang dalam konsep percintaan pada kondisi hari ini berlaku antara dua manusia lawan jenis disebabkan oleh standard (piawai) yang mereka gunakan untuk mengukur setiap perbuatan yang mereka lakukan bukan berdasarkan aqidah Islam dan konsep pergaulan yang mereka gunakan bukannya berdasar dari aqidah Islam. Oleh sebab itu, bagi mereka pendidikan seks adalah penyelesaian bagi mereka. Maka dari kajian realiti akan faktor yang mendorong kewujudan percintaan muktahir ini maka muncul pemahaman bahwa percintaan haram hukumnya. Sebagai seorang muslim, kita seharusnya mempunyai suatu standara tindak laku (miqyasul a'mal) yang jelas dalam melakukan sesuatu perbuatan yakni berdasarkan hukum syara' (Al-Quran dan Sunnah). Sebagai contoh, Rasulullah s.a.w telah bersabda:

"Janganlah sekali-kali berdua-duaan antara seorang lelaki dan seorang perempuan atau berpergian dengannya melainkan disertai muhrimnya" [Al-Hadith]

Sabda baginda lagi:-

"Sungguh aku (Rasulullah) benar-benar mengetahui beberapa umatku, datang pada hari kiamat dengan membawa kebaikan sebesar perbuktian (yang nampak putih) lalu Allah menjadikannya berhamburan/berkecai sia-sia. Tsauban bertanya : Ya, Rasulullah jelaskan kepada kami sifat-sifat mereka, kerana kami khuatir termasuk seperti mereka sedang kami tiada menyedarinya. Jawab Rasulullah: Mereka adalah saudaramu yang melakukan ibadah di malam hari, tapi apabila mereka bersunyi-sunyi dengan yang diharamkan oleh Allah, mereka mengganggu kehormatannya" [Al-Hadith]

Dari kedua hadith tersebut maka sudah jelas pergaulan bebas antara lawan jenis walau apapun namanya termasuk 'adik angkat' tetap haram hukumnya. Juga dari hadith-hadith lain kita dapat menyemak bahawa para sahabat pada ketika itu sangat kuat keterikatannya terhadap hukum Islam, contohnya apabila disampaikan hal seperti hadith kedua tadi para sahabat akan segera bertanya kerana mereka khuatir mereka pernah melakukan perkara yang tidak sesuai dengan Islam tanpa disedari dan apabila telah dijelaskan mereka segera meninggalkan atau melaksanakan apa yang dituntut oleh Islam. Dari sinilah dapat dilihat bahawa kayu ukur bagi tindakan mereka adalah aqidah Islam yang tulen. Tapi, masihkah wujud keadaan demikian pada hari ini ? Adakah kita menjadikan aqidah Islam sebagai kayu ukur bagi tiap tindakan kita atau kita akan melakukan sesuatu itu berdasarkan manfaat yang bakal kita perolehi.


Apa yang nyata pada zaman perkembangan teknologi ini, segolongan para remaja muslim yang seharusnya mengikatkan diri mereka dengan aturan Islam memberikan reaksi yang sebaliknya apabila disampaikan bahwa percintaan/pacaran haram. Mereka tidak bersetuju dengan apa yang disampaikan kerana mereka akan kehilangan 'manfaat' atau keindahan 'cinta' pada pandangan mereka. Kenapa ini terjadi ? Ini disebabkan oleh kedangkalan pemikiran mereka terhadap Islam dan menyebabkan remaja muslim terpesong dari jalur Islam samada disedari atau tidak kerana mereka sering beranggapan percintaan itu dibolehkan dalam Islam bahkan dianjurkan.

Telah banyak kita dengar atau terbaca akan pengertian percintaan. Maka ada dua kemungkinan pengertian mengenai pacaran:-

· Perasaan seorang lelaki ingin mencintai perempuan atau sebaliknya.
· Dua insan yang lawan jenis yang saling mencintai.

Perlu diingat, kita seharusnya dapat membezakan kedua-dua pengertian di atas. Pengertian yang pertama di atas yakni perasaan untuk mencintai insan lawan jenis adalah masalah yang mendasar yang mempunyai kaitan erat dengan fitrah /kudrat manusia seperti yang telah dijelaskan seawal penulisan ini. Allah telah menganugerahkan manusia naluri untuk meneruskan keturunan (salah satunya-menyukai kaum berlawanan jenis) atau dikenali dengan gharizah Al-Nau'. Ini merupakan salah satu naluri manusia dari yang tiga iaitu gharizah Al-baqa' (naluri untuk meneruskan kehidupan/mempertahankan), gharizah Al-Tadayyun (naluri untuk menyembah/beragama) dan gharizah Al-Nau'. Jadi adanya perasaan itu sememangnya sudah fitrah manusia dan perkara ini wajar dan tidak haram di sisi Islam. Firman Allah:

"Dijadikan indah pada (pandangan) manusia berupa kecintaan pada apa yang diingini, yakni wanita…" [Ali-Imran: 14]

Persoalan berhubung bagaimana untuk meneruskan perasaan cinta itu adalah hak Islam(Allah) untuk mengaturnya. Sedangkan pengertian yang kedua pula berkaitan dengan pengungkapan dan perasaan cinta itu dengan berdua-duaan, saling berboncengan, saling berpandangan kemudian melangkah setapak lagi dengan berpegangan tangan dan yang paling kronis lagi berani berciuman dan sanggup menyerahkan ‘segalanya’ demi cinta mereka. Inilah yang haram menurut Islam. Islam sebagai satu sistem hidup/Ideologi/Mabda'/Deen yang lengkap telah mengatur pergaulan antara kaum yang berlainan jantina. Islam memerintahkan seorang lelaki atau perempuan agar menundukkan pandangan mereka (bukan bererti harus memalingkan muka atau tunduk) tetapi tunduk dalam erti kata menahan pandangan yang disertai syahwat, seperti firman Allah:

"Suruhlah orang-orang yang beriman menundukkan pandangannya dan memelihara kehormatannya…" [An-Nur : 31]

"Dan suruhlah wanita-wanita mukmin menundukkan pandangannya dan memelihara kehormatannya dan janganlah mempamerkan kecantikannya kecuali bahagian badan yang boleh kelihatan (muka dan telapak tangan) dan supaya menutup dadanya dengan kerudung(khimar)..."[ An Nur 31]

Dua kalimat perintah di atas menjelaskan di samping untuk menahan pandangan antara lelaki dan perempuan turut diperintahkan untuk menutup aurat baik lelaki atau perempuan. Memang tidak dinafikan sehingga hari ini masih ada golongan yang beranggapan bahawa memakai jilbab(pakaian labuh) dan khimar(tudung) merupakan satu perkara yang tidak moden atau ketinggalan zaman. Padahal perlu ditegaskan bahawa seorang muslimah selamanya akan berdosa jika tidak mengenakan jilbab dan khimar yakni menutup seluruh anggota tubuh kecuali muka dan tapak tangan. Adalah silap seandainya kita beranggapan berjilbab dan khimar itu sudah memadai tetapi sekiranya berpakaian ketat atau yang menampakkan lekuk tubuhnya sehingga boleh menimbulkan syahwat bagi yang memandangnya masih dikira tidak menutup aurat. Begitu juga seorang lelaki wajib menutup auratnya yang sebatas pusat dan lutut dan tidak boleh dilihat oleh orang lain kecuali muhrimnya. Juga selamanya seorang muslim akan terus berada dalam keadaan berdosa selama dia masih berada di bawah naungan 'percintaan'. Jadi di samping kita faham mengapa percintaan itu haram kita juga harus faham bahawa menutup aurat itu wajip hukumnya. Lalu ada yang berdalih bahawa untuk memahami calon suami atau isteri kita harus banyak bergaul (pacaran). Pernyataan ini dan yang seumpamanya merupakan pernyataan yang dibuat-buat dan hanya sebagai dalih untuk mengatakan percintaan itu dibenarkan dalam Islam. Adakah hanya dengan jalan ini sahajakah kita dapat memahami peribadi seseorang ?

Seperti yang telah dinyatakan sebelum ini Islam itu suatu mabda' yang lengkap. Dalam Islam ikatan antara lelaki dan perempuan hanya ada dua iaitu pinang/tunang(khitbah) dan nikah. Jadi persoalan untuk memahami peribadi seseorang yang kita sukai itu boleh ditanyakan kepadanya(wanita) dengan niat yang benar-benar kuat untuk menikahinya. Akan tetapi wanita tetap harus disertai muhrimnya. Jadi, sekiranya alasan kerana tidak saling kenal mengenali peribadi yang disebabkan tiadanya proses percintaan akan menimbulkan salah faham atau seumpamanya, maka alasan tersebut merupakan alasan yang dicari-cari.

Meminang adalah cara Islam untuk suatu pernikahan. Menikah tidak dilakukan begitu sahaja tanpa fikir panjang, ada cara untuk mewujudkan dan meyempurnakan dengan meminang . Islam membolehkan orang yang meminang melihat yang dipinang dengan ketentuan yang telah ditetapkan oleh Islam. Tetapi meminang itu sendiri bukanlah bererti sudah separuh rasmi sebagai suami-isteri atau sebagai lesen untuk melakukan perkara-perkara yang boleh dilakukan seperti pasangan suami-isteri atau bebas diheret ke sana- sini tanpa mengenal batas. Berhubung dengan tindakan melihat wanita yang dipinang, Rasulullah s.a.w telah bersabda kepada salah seorang sahabatnya iaitu Mughirah ibn Syu'bah:-

"Pergilah dan lihatlah dia (calon isteri) kerana itu pantas agar menjadi dasar atau pedoman bagi kalian berdua" [Sunan Ibnu Majah, juz 1 hal 599]

Kesimpulannya, tidak ada ruang atau kebenaran yang menghalalkan proses percintaan apatah lagi dengan konsep percintaan mukhtahir ini. Sekali haram yang dikatakan dalam syara' maka selamanya haram. Hukum Islam tidak akan berubah disebabkan oleh perubahan waktu dan keadaan. Banyaknya perceraian bukanlah suatu hal yang boleh menghalalkan proses percintaan itu. Ianya tetap haram. Penulisan ini diakhiri dengan suatu pertanyaan yang memerlukan jawapan ikhlas seikhlas-ikhlasnya, sudahkah kita sebagai seorang muslim yang mengaku beriman kepada Allah dan rasulNya mengikat diri kita dengan aturan Allah.? Marilah hidup bersama syariah.

WaLlahu A'lam wa huwal musta'an..