"Keanggunan Wanita Solehah Mengatasi Paras Rupa"


Sabda Rasullah s.a.w:

“Dunia itu adalah kenikmatan dan sebaik-baik kenikmatan dunia ialah wanita yang solehah.” – Riwayat Muslim.


Agama merupakan faktor terpenting dalam mendapatkan kebahagiaan rumah tangga. Namun, tidak ramai di kalangan umat manusia pada zaman ini yang meneliti dan mengambil faedah daripada panduan agama dalam memilih calon isteri. Ramai di kalangan kita yang masih tidak menyedari bahawa faktor ini berupaya memberikan kebahagiaan dan keuntungan dunia dan akhirat.


Wanita yang beragama sentiasa mentaati ALLAH dan Rasul-NYA. Menjaga maruah diri dan ibu bapa, menundukkan pandangan di hadapan lelaki yang bukan mahram, berusaha menuntut ilmu, memahami dan mengamalkan apa yang difahaminya. Sentiasa bertaubat dan mendekatkan diri kepada ALLAH dengan melakukan pelbagai amalan wajib dan sunat.

Wanita yang terdidik dengan agama akan sentiasa memastikan dirinya bersih, kemas dan cantik. Ini kerana agama memerintahkan dia melakukan demikian. Semua itu dilakukan ikhlas kerana ALLAH berserta keyakinan bahawa dia akan dibalas dengan pahala di sisi TUHANnya.

Dia sentiasa memelihara diri dan menutup aurat dari pandangan lelaki yang bukan mahram. Percakapan yang lembut dan tepat seringkali menjadikan dirinya disukai dan disayangi oleh sesiapa sahaja yang mengenalinya. Masa yang terluang sentiasa dipenuhi dengan aktiviti yang berfaedah dan demi kebaikan diri serta agama.


Mentaati Ibu Bapa

Kedua-dua ibu bapa ditaati dengan sepenuh hati sebagai memenuhi perintah ALLAH agar berbuat baik kepada mereka dalam perkara makruf. Dia tidak pernah meninggikan suara jauh sekali menyakiti hati kedua-duanya. Ini bersesuaian dengan perintah ALLAH yang berbunyi:

“Dan TUHANmu telah perintahkan supaya engkau tidak menyembah melainkan pada-NYA semata-mata dan hendaklah engkau berbuat baik terhadap ibu bapa. Jika salah seorang dari kedua-duanya atau kedua-duanya sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaan-MU, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan "ah" dan janganlah engkau menengking dan menyergah mereka. Tetapi ucapkanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun). Dan hendakl

ah engkau merendah diri kepada kedua-duanya kerana belas kasihan dan kasih sayangmu dan doakanlah (mereka, dengan berkata): Wahai TUHANku, cucurilah rahmat kepada mereka berdua sebagaimana mereka telah mencurahkan kasih sayang dalam memelihara dan mendidikku semasa kecil." – Surah al-Israak: 23 – 24.

Redha dan Syukur dengan Apa yang Ada

Harta benda bukanlah matlamat utama hidupnya. Jika dia diberikan kekayaan, dia bersyukur dan tidak sombong. Malah seboleh mungkin melakukan kebajikan dengan bersedekah kepada yang kurang upaya. Sebaliknya

jika dia ditakdirkan miskin, dia juga bersyukur dan bersabar. Dirinya sentiasa sedar bahawa di luar sana masih ramai yang diuji dengan kemiskinan yang lebih dahsyat daripada apa yang dialaminya. Segala yang ditentukan oleh ALLAH buat dirinya diterima dengan penuh redha. Yakin bahawa setiap sesuatu yang telah ditentukan oleh ALLAH ke atasnya adalah baik untuk kehidupan dunia dan agamanya.

Sabda Rasulullah s.a.w:


“Sungguh mengkagumkan sifat orang mukmin. Apa sahaja keadaannya pasti baik. Ia tidak pernah dialami oleh sesiapa pun melainkan orang mukmin. Jika dia senang, dia bersyukur dan ia baik untuk dirinya. Dan jika dia susah dia bersabar dan itu baik untuk dirinya.” – Riwayat Muslim.


Dia juga sentiasa mengikut teladan wanita-wanita pada zaman sahabat dan salafussoleh. Mereka berjaya melahir dan mendidik generasi yang bijak pandai. Antaranya, dengan mencontohi Fatimah binti Muhammad r.a yang sabar menghadapi kemiskinan, mencontohi Ummul Mukminin Aisyah binti Abu Bakar r.a dalam kebijaksanaan dan kecintaan kepada ilmu, mencontohi Ummu Sulaim binti Milhan r.a dalam kecintaan dan kesetiaan kepada suami dan kejayaan mendidik, mencontohi Asma bin Abu Bakar r.a dalam semangat yang kental dan ketabahan menghadapi pelbagai ujian hidup.


Wanita Solehah Adalah untuk Lelaki Mukmin


Oleh itu, adalah tidak wajar bagi seorang mukmin sejati melupakan kesemua ciri wanita solehah ini dalam memilih pasangan lalu menilai semata-mata dari sudut paras rupa yang menarik tetapi buruk akhlaknya. Ini amat merugikan suami dan rumah tangga muslim yang bakal dibina.


Segala ciri di atas menggambarkan betapa indahnya sifat wanita solehah. Dan alangkah bahagianya lelaki yang memiliki hati wanita ini. Keindahan ini tidak dapat ditandingi oleh mana-mana ratu cantik dunia. Sekalipun pada pandangan manusia lain dia tidak memiliki paras yang cantik.


Firman ALLAH S.W.T yang bermaksud:

“(Kebiasaannya) wanita-wanita yang jahat adalah untuk lelaki-lelaki yang jahat. Lelaki-lelaki yang jahat juga adalah untuk wanita-wanita yang jahat. Dan sebaliknya wanita-wanita yang baik a

dalah untuk lelaki-lelaki yang baik serta lelaki-lelaki yang baik adalah untuk wanita-wanita yang baik.” – Surah al-Nur: 26.


Walau bagaimanapun, ini bukanlah bermakna agama melarang sama sekali seseorang itu memilih calon isteri yang cantik paras rupanya. Tiada siapa menafikan bahawa paras rupa yang menarik boleh menambahkan lagi keinginan seorang lelaki untuk menikahi seorang wanita. Ini merupakan fitrah dan diperakui oleh agama.


Sabda Rasulullah s.a.w:

“Apabila salah seorang kamu meminang seorang wanita sekiranya dia dapat melihat wanita itu, dia hendaklah melihatnya agar bertambah keinginannya untuk berkahwin.” – HR: Ahmad, Abu Daud dan al-Bazzar. Disahihkan oleh al-Hakim dan Ibn Hibban.


Wanita yang mulia namanya menjadi sebutan,

pekertinya dijunjung,

dipuji dan dirahmati suami

serta dikasihi keluarga, jiran dan sahaba

t...

Kerana...

seorang wanita adalah pelengkap kepada kenikmatan dan keindahan

yang dicari oleh seorang lelaki...



No comments: