~Warkah BUATMU~


Assalamualaikum wbt....

Untukmu bakal imam ku....

Tanganku mula mengarang apa yang telah diungkapkan oleh hati ini di dalam kalbu. Tertanya-tanya diriku keliru, adakah wajar untuk aku mula mencari sebahagian dari diriku..? Bukanlah niatku ini disertakan dengan godaan nafsu tetapi atas keinginan seorang muslimah mencari sebahagian dari agamanya. Aku mula menyedari bahawa usiaku di awal 20-an ini adalah masa yang sesuai untuk aku mula memikirkan tentang diri mu.

Aku tidak tahu dari mana aku harus mulakan kerana aku tidak terbiasa dengan budaya ini. Budaya yang menuntut pergaulan yang bebas. Tapi apa yang aku tahu, aku harus mula mempertimbangkan tulang rusuk siapakah yang Allah pinjamkan untukku. Aku menulis dengan harapan siapa sahaja kamu, maka kamu akan mengetahui apa yang aku fikirkan.

Sungguh, aku tidak mengenali siapa kamu lantaran Allah rahsiakan siapa dirimu dariku. Rahsia yang Allah simpan kemas untuk menguji tahap keimanan seorang hambanya yakni diriku. Walau aku tidak tahu siapa kamu, aku sentiasa berharap pada Allah bahawa kamu adalah kamu. Bakal suamiku yang aku tunggu-tunggu.

Untukmu, aku sentiasa berdoa agar Allah mempermudahkan jalan kehidupan mu...

Agar Allah sentiasa memberikan kamu taufik dan hidayah-Nya...

Agar Allah sentiasa mengurniakan kekuatan iman dan islam untukmu...

Aku berdoa agar kau seorang yang sentiasa berada di jalan yang benar...

Aku berdoa agar kau seorang yang dipenuhi dengan sifat bijak memimpin,kerana aku sangat memerlukan kamu untuk memimpin aku di laluan ini. Jadilah kamu seorang lelaki yang tabah, kerana ketabahanmu nanti bakal menjadi sumber kekuatanku. Jadilah kamu seorang lelaki yang bertanggungjawab, kerana kelak kau bakal memikul aku sebagai tanggungjawabmu. Jadilah kamu seorang lelaki yang penyayang, kerana kau perlu menyayangi aku dan zuriat yang bakal dilahirkan...

Sungguh aku tidak tahu siapa dirimu wahai bakal suamiku...

Namun...

Sebelum aku dipertemukan denganmu...

Biarlah aku belajar dan terus belajar. Selagi Allah kurniakan waktu, aku sentiasa berazam untuk menjadi yang terbaik bagi kamu. Aku sentiasa belajar bermanis muka dengan sesiapa walau dalam keadaan kepenatan, kerana aku tahu itu adalah latihan untukku agar kelak diriku mampu bermanis muka denganmu walau dalam apa jua keadaan, kerana aku takut, aku kelak menderhakaimu tanpa ku sedari..

Aku masih belajar untuk menjadi matang dalam segala hal, kerana aku tahu, kelak kematangan ku adalah penting untuk rumah tangga yang bakal dibina. Doakanlah diriku supaya menjadi seorang yang penyayang, kerana kasih sayangku bakal dilimpahkan kepadamu dan zuriat-zuriat kita. Doakanlah aku agar diriku dipenuhi dengan sifat mendidik, kerana aku tidak mahu zuriat-zuriat kita kelak ketandusan ilmu, adab dan pekerti. Doakanlah aku agar aku sentiasa sabar menempuhi ujian, kerana kesabaran itu diperlukan untuk ujian hidup bersamamu. Aku takut, kiranya aku gagal menjadi penyejuk matamu. Maka doakanlah diriku agar ku dapat terus menjadi makmummu di dunia dan akhirat sana...

Buatmu...

Meskipun aku masih tidak tahu siapakah gerangan kamu...

Aku sangat berharap agar kita bertemu dalam keadaan Allah dan ibu bapa kita saling meredhai...

Kerana pasti keredhaan itulah membuahkan benih kebahagiaan kelak...

Aku tidak kisah siapa dirimu...

Tapi aku sentiasa berdoa agar dirimu seorang yang kuat pegangan agama...

Kerana tanpa ilmu dan Islam, ku takut diriku, kamu dan zuriat-zuriat kita bakal dicampakkan ke lembah kebinasaan...

Diriku hanya mampu berharap,

Aku bertemu kamu dalam keadaan diriku sudah benar-benar bersedia...

Bersedia untuk berkhidmat padamu dengan ikhlas dan redha...

Kerana kamu adalah sumber syurgaku...

Aku berharap agar zuriat-zuriat yang bakal Allah kurniakan melalui pernikahan kita adalah anak-anak yang boleh berbakti di jalan ini...

Aku berharap aku sentiasa matang dan taat denganmu kerana kamu adalah urusan akhiratku...

Jemputlah aku pabila tiba waktunya...

Aku harap tatkala waktu itu tiba, aku dan kamu benar-benar bersedia untuk sesuatu yang sangat berat iaitulah yang dinamakan tanggungjawab...

Aku akan berasa amat bertuah andai dapat menjadi tiang seri ataupun sandaran perjuanganmu. Bahkan aku amat bersyukur pada Ilahi kiranya akulah yang ditakdirkan meniup semangat juangmu, menghulurkan tanganku untuk berpaut sewaktu rebah atau tersungkur di medan yang dijanjikan Allah dengan kemenangan atau syahid itu.

Cinta tidak cukup untuk kebahagiaan. Tanpa ilmu dan iman, pekahwinan ibarat meniti jalan yang rapuh.

Aku sukar untuk mencari dirimu kerana dirimu bagaikan permata bernilai di antara ribuan kaca menyilau. Tetapi aku pasti jika namamu yang ditulis di Luh Mahfuz untuk diriku, nescaya rasa cinta itu akan Allah terbitkan dari dalam diri kita. Tugas pertamaku bukan mencari dirimu tetapi mensolehahkan diriku. Sukar untuk mencari soleh dirimu andai solehahku tidak setanding dengan ke’soleh’anmu. Janji Allah pasti kupegang dalam misi mencari dirimu.


"Wanita yang baik adalah untuk lelaki yang baik."

Akhir kalam,

Semoga Allah memakbulkan segala doaku untukmu bakal suamiku, yang Allah masih rahsiakan siapakah gerangan dirimu.


"Ya Allah berikan cintaMu kepadaku,
Jadikanlah orang yang mencintai-Mu mencintaiku,
Dan jadikanlah aku mencintai segala yang membawa kepada kecintaanMu..."

Ameen...

No comments: