~Wanita, akal senipis rambutnya..~

Jangankan lelaki biasa..
nabi pun terasa sunyi tanpa wanita..
tanpa mereka, fikiran dan perasaan lelaki akan resah..
masih mencari walau ada segalanya..
apa yang ada didalam syurga..
namun Adam tetap rindukan Hawa..
dijadikan wanita daripada tulang rusuk yang bengkok..
untuk diluruskan oleh lelaki..
tetapi seandainya lelaki itu tidak lurus..
mana mungkin kayu yang bengkok menghasilkan bayang yang lurus.

Luruskanlah wanita dengan jalan yang ditunjuk oleh Allah..
kerana mereka diciptakan sebegitu rupa oleh Allah..
didiklah mereka dengan panduan dari-Nya..
jangan cuba menjinakkan mereka dengan harta..
kerana nantinya mereka semakin liar..
jangan hiburkan mereka dengan kecantikan..
kerana nantinya mereka semakin derita..
kenalkan mereka kepada Allah..
zat yang kekal..
di situlah punca kekuatan dunia.

Akal senipis rambutnya, tebalkan ia dengan ilmu..
hati serapuh kaca, kuatkan dengan iman..
perasaan selembut sutera, hiasilah dengan ahlak..
suburkanlah ia kerana dari situlah nantinya mereka akan lihat nilaian dan keadilan Rabb.
bisikan ke telinga mereka bahawa kelembutan bukan satu kelemahan..
ia bukan diskriminasi Allah..
sebaliknya di situlah kasih dan sayang Allah.

Wanita yang lupa akan hakikat kejadiannya..
pasti tidak akan terhibur..
dan tidak akan menghiburkan..
tanpa iman, ilmu dan akhlak mereka tidak akan lurus...
bahkan akan semakin membengkok..
itulah hakikatnya andai wanita tidak kenal Rabbnya.

Bila wanita menjadi durhaka..
pasti dunia lelaki akan menjadi huru hara..
lelaki pula jangan mengharapkan ketaatan semata mata..
tapi binalah kepimpinan..
pastikan sebelum wanita menuju Ilahi..
pimpinlah diri kepadaNya..
jinakkan diri kepada Allah..
nescaya akan jinaklah segala galanya dibawah pimpinanmu..
janganlah mengharapkan isteri semulia Fatimah Az Zahra r.a.
seandainya dirimu tidak sehebat saidina Ali karamallahuwajhah...



Faktor Memilih Pasangan Hidup


Kebanyakan daripada rumahtangga runtuh yang bermasalah sejak hari pertama tak lain tak bukan adalah kerana kedua-dua orang yang terlibat tersalah pilih pasangan, itu sahaja. Pilihan pasangan hidup anda adalah lebih penting dari apa jua yang anda lakukan untuk membahagiakan rumah tangga anda. Itu mungkin bunyinya seperti mudah sahaja dilakukan, tetapi anda akan terkejut dengan peratusan tinggi orang yang tidak sabar sabar melangsungkan perkahwinan sehingga mereka tidak menumpukan masa dan usaha yang diperlukan untuk membuat keputusan yang baik. Jika anda ingin memastikan perkahwinan yang memuaskan dan berkekalan, timbangkan faktor-faktor berikut :

1. TEMPOH MASA PERKENALAN

Kajian menunjukkan bahawa pasangan yang telah berkenalan selama dua tahun atau lebih kesemuanya lebih berpuas hati dengan perkahwinan berbanding pasangan yang berkenalan dalam jangka masa yang lebih pendek. Apabila pasangan bersedia mengambil keputusan yang melibatkan perkahwinan selepas hanya berkenalan selama beberapa bulan, keputusan itu kebanyakannya lebih berdasarkan khayalan dan kurang berdasarkan hakikat .

2. MEMILIH PASANGAN SENDIRI

Orang sering memilih pasangan semata-mata untuk menggembirakan orang lain, ayah, ibu atau kerana orang menyuruh mereka berkahwin. Tetapi amat penting agar orang yang hendak kahwin itu sendiri gembira dengan pilihannya. Keputusan anda hendaklah dibuat berasaskan keperluan dan impian anda sendiri. Anda juga patut mendengar pendapat sahabat handai dan kaum keluarga dengan teliti, tapi jangan sampai biarkan orang lain memilih pasangan hidup anda.

3. HARAPAN YANG TIDAK WAJAR TENTANG PERKAHWINAN

Kebanyakan rumahtangga gagal kerana tidak mendapat apa yang mereka impikan sebelum berkahwin. Ramai lelaki dan wanita memasuki alam perkahwinan dengan sangkaan bahawa pasangan mereka akan memenuhi semua keperluan mereka dan bahawa perasaan romantik mereka semasa bercinta akan kekal abadi. Sebenarnya rumah tangga yang bahagia memerlukan begitu banyak usaha, kesabaran dan ketabahan.

4. MASALAH KEPERIBADIAN DAN TINGKAH LAKU

Keperibadian dan tingkah laku tidak akan hilang apabila anda berkahwin. Jika terdapat ciri-ciri keperibadian dan tingkah laku pasangan anda yang menimbulkan persoalan, seperti cemburu, panas baran, tidak bertanggungjawab, tidak jujur dan degil, tanya diri sendiri sama anda sanggup untuk menghabiskan masa anda sehingga ke akhir hayat untuk menangani masalah ini. Nyata sekali, jika pasangan yang dalam pertimbangan itu menghadapi masalah dadah, kaki botol dan sebagainya, anda sepatutnya memastikan masalah itu telah diselesaikan jauh lebih awal sebelum perkahwinan anda.

5. BANYAK PENGALAMAN HIDUP

Pemilihan pasangan hidup melibatkan ramalan tentang bagaimana anda berdua akan hidup bersama sepanjang tahun tahun akan datang. Pengalaman di sini bukan bermaksud usia. Pengalaman yang dilalui tidak bergantung dengan usia seseorang. Pengalaman lelaki dan wanita mengharungi susah senang bersama amat bermakna dalam perhubungan. Jika boleh lalui waktu waktu susah dan senang bersama pasangan anda. Ambil contoh yang mudah saja, misalnya melalui lalu lintas yang sesak, jalan jalan kampung yang becak. Dari situ, dia akan menunjukkan siapa dirinya yang sebenarnya.

6. BAYANGAN ORANG YANG INGIN ANDA KAHWINI

Bayangan ini tidak anda sedari pada umumnya, namun ia amat mempengaruhi anda. Bayangkan dengan jelas sifat-sifat orang yang ingin anda kahwini. Fikirlah dengan panjang dan mendalam tentang faktor - penampilan, kepintaran, pendidikan, kerohanian dan sebagainya. Pemikiran bawah sedar anda boleh menghantui sesuatu hubungan. Berpeganglah pada bayangan anda ini, jika tidak anda akan menginginkan orang lain buat selamanya.

7. PASANGAN YANG BERSIFAT SEAKAN AKAN DIRI ANDA

Pasangan yang mempunyai terlalu banyak perbezaan sifatnya, akan memerlukan usaha yang lebih untuk memastikan rumahtangga yang dibina kekal bahagia. Lebih banyak memerlukan toleransi dan pemahaman. Tak ramai pasangan mampu bertindak sebegini.

8. MEMPUNYAI CITA-CITA YANG SEIRING

Jika orang yang anda kahwini bercita-cita jauh lebih rendah atau lebih tinggi daripada anda, mungkin anda berdua akan kecewa. Masalah akan timbul jika anda berusaha mendaki puncak kejayaan tetapi pasangan anda telah berpuas hati dengan apa yang telah anda berdua miliki. Perbezaan sifat mungkin menarik hati ketika sedang melamar, tetapi ia akan menyebabkan banyak kekecewaan sepanjang perkahwinan.

9. KEBOLEHAN BERKOMUNIKASI

Kebolehan berkomunikasi sangat penting demi kebahagian rumah tangga. Kesejahteraan perkahwinan bergantung kepada tahap komunikasi suami isteri. Adalah penting kedua dua pasangan menguasai kemahiran bertutur dan mendengar. Banyak rumah tangga hancur kerana masing masing tidak pandai menyatakan hasrat masing-masing dengan cara yang boleh diterima oleh pasangannya. Hasrat dipendam tanpa komunikasi berkesan.

9. KEBOLEHAN MENYELESAIKAN PERTELINGKAHAN

Pasangan perlu tahu yang mereka berkemampuan untuk menyelesaikan pertelingkahan sebelum mereka berkahwin. Jika pasangan tidak tahu cara yang berkesan untuk menangani perselisihan pendapat antara mereka, rumahtangga mungkin akan runtuh. Banyak rumahtangga runtuh kerana suami isteri tidak tahu menangani perbezaan diri mereka berbanding sebab-sebab lain. Amat perlu menilai kemahiran perdamaian masing-masing sebelum berkahwin.

P/S : NO. 1 Tak tahu kajian dilakukan di mana. Rasanya tak semua perkenalan jangka pendek gagal dan perkenalan jangka panjang berjaya. Kemungkinan perkenalan jangka panjang lebih banyak berjaya disebabkan peratusan perkahwinan berdasarkan perkenalan jangka panjang lebih tinggi berbanding jangka pendek. Tapi rasanya, perkenalan jangka pendek boleh juga berjaya, asal saja pasangan tersebut sedia menghadapi segala risikonya, dan redha. Mana mungkin kita boleh mengenali orang sepenuhnya hanya dalam masa beberapa bulan. Boleh saja tempoh perkenalan tersebut dilanjutkan sehingga selepas berkahwin. Apapun kita hendaklah bersedia menghadapi segala kekurangan dan kelebihannya. Kebanyakan pasangan dahulu kala banyak yang berjaya, bukan la disebabkan mereka serasi atau pasangan yang ideal tetapi kerana mereka telah masing-masing redha di atas kelebihan dan kekurangan masing-masing walaupun mengetahuinya hanya selepas berkahwin dan bersyukur seadanya.

Usahlah Berbalah, Bukankah Kita Satu UMMAH?..


Kumulakan dengan Bismillah,

lafaz yang paling indah,
semoga beroleh barokah,
untuk terus menguntai madah...

Sejak kebelakangan ini, aku dapati seperti ada yang tidak kena di kalangan sahabat-sahabat seukhuwah.. Entah kenapa, seolah-olah ada sahaja isu yang boleh dibawa berbalah.. Hati sedih tidak mampu ku bantah.. Bukanlah menyokong atau menidakkan mana-mana fikrah.. Tetapi yang penting kita tetap satu ummah..!

Bagiku masing-masing mempunyai hak untuk mengeluarkan pendapat dan fikrah, tapi tak perlulah sehingga cuba menjatuhkan mana-mana pihak. Sebab semua yang dinyatakan memang berdasarkan dalil dan mempunyai hujah yang kukuh.

Yang paling ketara masalah di kalangan sahabat-sahabat niqabis. Ada yang mempertikaikan akhowat di FB memakai niqab untuk apa? Adakah kerana benar-benar mengikut perintah Allah setelah dia mempelajari hukum-hukumnya dan cuba beramal dengan apa yang dipelajari? Atau semata-mata untuk menunjuk-nunjuk kepada khalayak ramai bahawa dia seorang yang berniqab? Tetapi berposing dengan berbagai-bagai cara yang menarik untuk mencari perhatian orang yang memandangnya dan ingin menerima pujian atas keindahannya sebagai makhluk ciptaan Allah? SUBHANALLAH..! Tidak dinafikan umumnya, semua orang memang senang mempertikaikan apa yangg terzahir di depan mata tanpa mengetahui apa yang ada di sebaliknya. Sebenarnya, masalah itu tidaklah sebesar mana, tapi disebabkan masing-masing ingin mempertahankan pendapat masing-masing, isu ini aku lihat masih tak ada kesudahannya walaupun ia tidaklah sehangat beberapa hari yang lalu. Masih ada lagi kata-kata yang menyindir sesebelah pihak, kata-kata tidak puas hati dari orang yang tidak puas hati, hingga aku lihat seperti ada yang sanggup memutuskan ukhuwah yang terjalin semata-mata kerana tidak sapendapat?! ALLAHU AKBAR..!

Sebenarnya perkara itu tidak perlu diperpanjangkan, tidak perlu menunjukkan siapa yang salah dan siapa yang benar. Jika ada sahabat-sahabat yang mungkin tidak sedar di mana kesilapannya, tidak salah untuk menegur. Tetapi bukankah lebih baik kita menegur secara berHIKMAH?.. Sedangkan Islam itu sendiri adalah nasihat, iaitu agama yang menjadikan nasihat sebagai teras pembinaan umat, dalam mencipta kemajuan dan pembangunan, samada kemajuan duniawi ataupun pembangunan rohani. Memang benar, membiarkan kerosakan terus berlaku atau perkara yang kurang baik dilaksanakan bertentangan dengan konsep nasihat di dalam Islam.

Pada pendapatku, tidak perlu perkara tersebut dijadikan isu dan diperbincangkan di khalayak ramai, kerana mungkin masalah itu boleh menjatuhkan air muka mana-mana pihak, sekaligus menyakitkan hati mereka. Memanglah kata pepatah, 'Sesiapa yang makan cili dia yang terasa pedasnya', tetapi masalah itu juga terkena tempiasnya pada sahabat-sahabat lain yang mungkin langsung tak terniat di hati untuk melakukan seperti apa yang dikata, walaupun terdapat juga gambar-gambarnya dalam keadaan berniqab yang diletakkan di FB nya. Sebenarnya, semuanya kembali kepada NIAT masing-masing. Bukankah kita semua sudah maklum tentang perkara ini?.. Bahawa setiap apa yang kita lakukan, baik buruknya itu bergantung pada niat seseorang? Allahu Allah..

Cuba kita berfikir sejenak, cuba kita sama-sama bersangka baik antara satu sama lain, cari di mana kebaikan pihak ini, dan di mana kebaikan pihak yang satu lagi? Bukankah perintah Allah itu, husnuzon biLlah wa husnuzon bi 'ibadiLlah? Bersangka baiklah kamu kepada Allah dan bersangka baiklah kamu kepada hamba-hamba Nya yang lain. Maknanya, kita perlu mencari di mana kebaikan seseorang itu dan usah pertikaikan kelemahannya. Yang ingin aku tekankan di sini adalah, di mana kebaikan orang yang menegur? Dan di mana kebaikan orang yang ditegur? Bukankah lebih indah jika segala yang baik kita jadikan teladan, dan yang buruk kita jadikan sempadan? Aku tidak ingin menyalahkan mana-mana pihak, kerana bagiku kedua-duanya berhak mempertahankan pendapat masing-masing tanpa perlu menjatuhkan satu sama lain. Bukankah perbezaan pendapat di kalangan umat Nabi Muhammad saw itu rahmat? Dengan syarat kita menghormati satu sama lain dan meraikan pendapat masing-masing. Sedangkan imam-imam mazhab juga bebrbeza pendapat, tetapi bertelagahkah mereka sesama sendiri? Tidak, malah mereka meraikan pendapat yang lain tanpa berlu berbalah. Tetapi yang sering membuat onar adalah para pengikut yang cuba memperlekehkan ikutan yang lain. Semoga kita semua terpelihara dari sifat-sifat itu.

Baiklah, kembali pada tempat terbit sesuatu keinginan iaitu HATI. Apa yang ada di dalam hati? Segala yang kita niatkan, segala apa yang terlintas di akal fikiran kita, semuanya bermula dari hati. Kerana hati adalah raja anggota badan kita, jika baik raja itu, baiklah seluruh anggotanya. Jadi yang perlu kita lihat di sini dan kita fikirkan, apakah NIAT sahabat-sahabat yang diperkatakan memakai niqab di dlm FB? Atau di mana-mana ruangan yang diletak gambarnya dalam keadaan berfurdah? Boleh kan sama-sama kita berfikiran positif dan bersangka baik? Mari kita cuba..


1) Dia memakai begitu kerana dia memang seorang yang berniqab, dan kita tak boleh pertikaikan niatnya, tahukah kita apa yang ada di dalam hatinya? Kasyaf kah kita? Hanya Tuhan Yang Maha Mengetahui. Tapi kita boleh bersangka baik bahawa dia meletakkan gambarnya yang sebenar, kerana mungkin supaya sahabat-sahabatnya yang lain yang mungkin mengenalinya tetapi telah lama terpisah, jika melihat gambar sebenarnya dan mereka kenal dia, maka akan terjalin semula ukhuwah yang telah lama terputus. Bukankah itu satu kebaikan baginya?

2) Dia memakai niqab kerana tidak mahu dikenali oleh orang lain. Mungkin tujuannya kerana dia ingin berkongsi ilmu, kata-kata hikmah yang menusuk kalbu, kepada sahabat-sahabatnya di alam maya tanpa perlu mereka mengenali dirinya. Mungkin kerana dia ikhlas liLlahi Ta'ala, dia merasakan tidak perlu orang tahu siapakah dirinya yang sebenar, kerana niatnya bukanlah untuk menunjuk-nunjuk kelebihan yang ada pada dirinya, tetapi sekadar berkongsi kurniaan anugerah Allah pada dirinya melalui kata-katanya. Tidak kurang juga yang menggunakan nama samaran, mungkin hanya kerana mereka tidak ingin dikenali siapakah mereka itu yang sebenarnya, tetapi cukuplah jika orang lain dapat mengambil manfaat dari apa yang dilakukannya atau diucap olehnya. Maka dia ingin 'menyembunyikan' diri atau wajahnya dari tatapan umum walaupun hakikatnya mungkin juga dia bukanlah seorang yang berniqab? Allahu Allah.. Betapa mulianya niat insan itu, tahukah kita?

3) Mungkin ada yang baru mula berjinak-jinak dengan pakaian yang sedemikian, namun mereka tidak tahu jika cara mereka bergambar dalam keadaan berniqab tetapi mungkin dengan gaya yang tidak berapa sesuai dipandang jika dilihatkan cara pemakaian mereka, maka kita tidak boleh juga menyalahkan sahabat-sahabat ini. Yang terlebih afdhal bagi kita lakukan adalah menegurnya secara berhikmah, dengan berbagai-bagai cara yang saya rasa tak perlu saya catat satu persatu kerana kita semua dikurniakan akal yang waras dan masing-masing boleh berfikir dengan sebaik-baiknya.

4) Mungkin juga mereka meletakkan gambar-gambar itu dengan niat ingin berkongsi pengalaman, mungkin berada di tempat-tempat menarik atau melakukan sesuatu perkara yang ingin dikongsi bersama rakan-rakannya, dan mereka sememangnya berniqab. Maka masalahnya di sini, tahukah kita niat mereka itu? Tidak bukan. Jadi apa salahnya kita cuba bersangka baik? Banyak kemungkinan yang berlaku, yang penting kita sentiasa cuba untuk melatih diri berfikiran positif dari melihat kelemahan dan keburukan orang lain.


Ini hanyalah sebahagian cara untuk kita bersangka baik jika kita melihat ada sahabat-sahabat yang meletakkan gambar-gambar mereka di ruangan masing-masing. Banyak lagi cara untuk ber'husnuzon' yang boleh kita lakukan jika kita fikir dengan teliti sebelum menegur dan membuat perkara ini menjadi isu besar hingga mungkin boleh menyebabkan sesetangah pihak terasa hati walaupun tanpa mereka sendiri melakukan perkara yang dibincangkan.


Adapun jika memang ada yang meletakkan gambar-gambarnya dan sengaja untuk menunjuk-nunjuk, niat di hatinya ingin mendapat pujian atas kepandaian dia berposing atau sebagainya, atau memang ingin menjadi tatapan dan pujaan orang yang menatapnya, maka orang-orang ini ada Tuhan Yang Maha Tahu yang selayaknya menghukum niat hatinya. Siapalah kita yang cuba membuka aib seseorang tanpa kita tahu isi hati dan niatnya? Mahukah kita berdosa atas su'uzon kepada sesama saudara dan jika kita tersalah sangka, mungkin hingga boleh terjatuh ke hukum memfitnah sesama saudara wal'iyazubiLLah.. Tidak salah kita cuba menegur atas dasar nasihat-menasihati sesama saudara, tetapi yang penting tegurlah dengan cara berhikmah. Tak perlu diperbesar-besarkan masalah, sana-sini membincangkan hal yang sama. Yang menyokong terus menyokong, yang membantah terus membantah, hingga akhirnya terputuslah ukhuwah.

Dari sudut yang menegur pula, mari kita lihat apa kebaikannya, dan usah ditilik di mana kelemahannya. Seperti juga orang yang ditegur, cuba kita lihat apa NIAT orang yang menegur? Sudah tentu dia menegur kerana dia inginkan kebaikan dari sahabat-sahabat seagamanya bukan? Adakah orang yang menegur kerana inginkan kejahatan dari saudaranya? Tidak bukan. Kita juga perlu mengambil yang positif darinya, usah pertikaikan bagaimana dirinya dahulu dan bagaimana pula dirinya sekarang. Bukankah NASIHAT itu kita ambil yang mana baiknya dan bukan mempertikaikan siapa yang memberi nasihat itu? 'UNZUR MA QOL WA LA TANZUR MAN QOL' (Maaflah laptop saya tidak ada tulisan Arab) Maksudnya lihat apa yang dikata (jika ia ada kebaikan) dan jangan lihat siapa yang berkata (walaupun orang itu mungkin ada kekurangan). Samalah seperti kata yang baik dijadikan teladan, yang buruk dijadikan sempadan. Kita patut bersyukur kerana masih ada yang prihatin terhadap apa yang berlaku pada kita atau di sekeliling kita. Kenapa dia prihatin? Sudah tentu kerana dia sayang pada kita. Ya Allah, alangkah indahnya hidup ini jika semua sahabat seagama dapat berdiri megah, bersatu teguh di bawah panji-panji LAILAHAILLALLAH MUHAMMADURRASULULLAH..!!

(Ampun dan maaf dipinta jika ada tersilap kata, setiap yang termaktub adalah pendapat semata-mata.. Ayuhlah para sahabat seukhuwah fiLlah, bersama-sama bersatu mengorak langkah.. Atas jalan dakwah kita berukhuwah, bukankah kita satu UMMAH?.. Di dunia kita mencari MARDHATILLAH, semoga bersatu lagi kita di JANNAH.. )